P. Waytha Moorthy
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Yb Senator Waytha Moorthy (tengah) beramah mesra dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada pembukaan Forum Malaysia Baru Selepas 61 Tahun Merdeka di Hotel Armada, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Mengakui masyarakat India sering terpinggir, justeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berharap pembentangan Bajet 2019 akan memberikan berita gembira kepada kaum itu untuk terus dibantu.

Namun beliau tidak meletakkan harapan tinggi kerana maklum dan memahami kedudukan kewangan negara yang disifatkannya lebih utama.

“Saya seperti semua orang harapkan bajet yang lebih baik tapi kita faham terdapat kekangan kewangan pada masa kini, jadi saya serahkan kepada Menteri Kewangan untuk membuat keputusan dengan sewajarnya

“Walaubagaimanapun kita akan terima apa pun sebab Menteri Kewangan lebih tahu kewangan negara. Saya percaya suatu jumlah yang baik akan diberikan untuk membantu masyarakat India,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau ditemui selepas menghadiri mesyuarat Unit Pembangunan Sosioekonomi bagi Masyarakat India (SEDIC) dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai hala tuju pendidikan masyarakat India.

Jelas beliau, pandangan-pandangan yang bakal terima hari ini akan diberikan kepada Kementerian Pendidikan bagi membolehkan suatu inisiatif diambil bagi membantu masyarakat India daripada aspek pendidikan.

“Tidak dinafikan masyarakat India adalah masyarakat terpinggir dalam negara.

“Perjumpaan ini kita berikan peluang kepada mereka untuk turut berikan input kepada kita kepada kerajaan baru ini supaya kita boleh bawa cadangan-cadangan mereka kepada Menteri Pendidikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette