Restoran Zaini Salai House ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Bendol Seremban, Negeri Sembilan. foto IQBAL BASRI, 19 OKTOBER 2018
KUALA PILAH – Tidak mahu melihat makanan tradisi masyarakat Melayu Negeri Sembilan hilang ditelan zaman, penjual itik salai, Zaini Saad akhirnya membuka kedai makan sendiri.
Zaini, 36, tidak menyangka usahanya untuk mengekalkan makanan warisan negerinya menerusi restoran yang dibuka sejak empat tahun lalu mendapat sambutan memberangsangkan daripada penggemar makanan bercirikan masak lemak salai.
Berkongsi pengalaman membuka restoran dikenali Zaini Salai House yang terletak di Kampung Ulu Bendul,Tanjung Ipoh di sini, Zaini berkata, semua itu bermula selepas beliau sering ditanya pengunjung ketika menjual ayam, itik, burung puyuh, ikan keli dan daging salai di tepi jalan.
Katanya, pertanyaan yang sering diajukan itu telah menyebabkan hatinya terdetik untuk menjual produk salainya dalam bentuk masakan.
“Saya belajar cara memasak daripada ibu mertua dan orang-orang kampung yang ada di sini.
“Alhamdulillah masakan yang saya jual ini mendapat sambutan daripada pengunjung sebab makanan ini hampir hilang terutama produk salai itu sendiri,” katanya.
MGF17102018_ROMPIN_18
Pemilik, Zaini Saad ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette mengenai restoran yang menyajikan masakan salai di Kampung Ulu Bendul Seremban, Negeri Sembilan. foto IQBAL BASRI, 19 OKTOBER 2018
Tambah beliau, makanan yang dijual direstorannya itu juga sememangnya mengekalkan ciri-ciri masakan kampung tanpa diubah resipinya bagi mengekalkan keaslian masakan Negeri Sembilan.
Selain masak lemak daging yang disalai, makanan lain yang menjadi kegemaran pelanggan di restorannya ialah itik rendang yang turut disalai.
Zaini berkata, beliau memulakan perniagaan dari jam 10 pagi hingga 5.30 petang setiap hari dan operasi restoranya ditutup pada Rabu.
Ujarnya, beliau berhasrat untuk membuka restorannya pada setiap hari tanpa cuti selepas ini dan ia akan dilaksanakan selepas mendapat penambahan pekerja.
MGF17102018_ROMPIN_20
Restoran Zaini Salai House

Katanya lagi, beliau turut merancang untuk membuka cawangan baru restorannya di Senawang.

Dalam pada itu Zaini berkata, pelanggan tidak perlu risau mengenai harga makanan yang dijual kerana semua jenis masakan dikenakan harga berpatutan iaitu serendah RM5.

Jelasnya, beliau tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan apa yang lebih penting adalah kepuasan pelanggan untuk menikmati makanan warisan Melayu tradisi negerinya. – MalaysiaGazette