Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2018
Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2018

AMPANGĀ – Rafizi Ramli mengakui pencabarnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai banyak kelebihan di Selangor berbanding beliau dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk jawatan Timbalan Presiden.

Rafizi menjangka dirinya tewas di Selangor sekurang-kurangnya 1,000 undi susulan akar umbi lebih berpihak kepada Mohamed Azmin kerana kepimpinannya lebih lama sejak zaman reformasi lagi di negeri berkenaan.

“Saya rasa peluang di Selangor ini 55-45 kepada saudara Azmin. Saya memang jangka untuk kalah di Selangor

“Margin kekalahan itu kerana dalam PKR ramai merasakan Azmin ini Pengerusi PKR Selangor sejak tahun 1998 dan dia juga (bekas) Menteri Besar Selangor.

“Paling kurang, setakat ini saya merasakan sepatutnya kalah 5,000 undi di Selangor. Setakat ini saya masih bertahan dalam 1,000 undi,” katanya ketika ditemui pemberita pada pemilihan PKR Cabang Pandan di Dewan MPAJ, Taman Cempaka hari ini.

Hari ini merupakan fasa terakhir proses pemilihan PKR peringkat Selangor berlangsung di enam daripada 22 cabang di negeri ini.

Enam cabang itu ialah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat yang mempunyai lebih 61,000 anggota layak mengundi.

Tanjong Karang mempunyai 3,418 anggota, Kuala Selangor (17,737), Ampang (12,626), Pandan (7,017), Shah Alam (9,309) dan Hulu Langat (11,858).

Proses pengundian menggunakan kaedah e-undi itu dijangka bermula pukul 9.00 pagi dan berakhir 5 petang.

Rafizi bagaimanapun berkata, beliau optimis untuk merampas jawatan nombor dua dalam PKR itu susulan corak pengundian di negeri-negeri di luar Selangor lebih memihak kepadanya.

“Di Selangor memang saya dijangka kalah tetapi dokongan kuat daripada negeri-negeri di luar Selangor itu akan memberi persaingan sengit terutama di Sabah dan Sarawak dilihat lebih berpihak kepada saya sedikit.

“Kalau undi saya lebih kurang dengan Azmin atau saya ketinggalan sedikitĀ  tapi ia akan memberi peluang di Sabah dan Sarawak dijangka akan lebih cenderung kepada saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan