KINSHASHA – Wabak maut ebola telah meragut sekurang-kurangnya meragut 164 mangsa yang melanda timur Republik Demokratik Congo (Congo) setakat semalam waktu tempatan.

Agensi melaporkan, Kementerian Kesihatan yang mengesahkan situasi tersebut berkata, negara ini bakal berdepan dengan gelombang kedua wabak itu di Beni, bandar yang terletak di utara Kivu, iaitu di sempadan Uganda.

“Sejak Ogos sahaja, secara keseluruhan sebanyak 257 kes telah direkodkan di rantau ini yang membabitkan 222 kes Ebola sementara 35 disyaki Ebola sejak wabak tercetus,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, wabak berkenaan dikatakan merebak di Mangina, iaitu bandar yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Beni.

Pada 17 Oktober, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan angka kematian akibat Ebola meningkat kepada 139 orang.

Gelombang kedua Ebola itu dipercayai berpunca daripada keengganan rakyat Congo untuk menyertai kempen pencegahan yang dilakukan untuk mengawal penularan wabak berkenaan.

Kementerian itu turut memberitahu pihaknya telah menghantar kumpulan pakar ke kawasan terbabit mengawal wabak berkenaan.

Wabak Ebola yang masih belum ditemukan penawar­ itu telah membunuh lebih 11,300 orang di Afrika Barat dari 2013-2016 selepas melanda Guinea, Sierra Leone dan Liberia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memaklumkan pihaknya telah mene­rima pengesahan tentang wabak berkenaan daripada para pegawai di Congo selepas dua daripada lima contoh yang dianalisis di Kinshasha didapati positif Ebola. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan