Blok bangunan yang menempatkan bilik penginapan di Lanjut Beach & Golf Resort Rompin, Pahang. foto IQBAL BASRI, 17 OKTOBER 2018.
Blok bangunan yang menempatkan bilik penginapan di Lanjut Beach & Golf Resort Rompin, Pahang. foto IQBAL BASRI, 17 OKTOBER 2018.

ROMPIN – Langkah Permodalan Nasional Berhad (PNB) membina Lanjut Beach & Golf Resort (LBGR) membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutama di sekitar Kuala Rompin.

Malah, hubungan antara pihak resort dengan pemilik perniagaan lain di kawasan tersebut ibarat ‘aur dengan tebing’ kerana masing-masing saling memerlukan hingga menjadikan ekonomi di Kampung Lanjut di sini menjadi rancak, kata Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Kumpulan, Ismail Hisham Ahmad Zambri.

MGF17102018_ROMPIN_39
Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran dan Jualan PNB, Ismail Hisham Ahmad Zambri.

Menurut beliau, 90 peratus tenaga kerja di resort itu merupakan orang tempatan manakala selebihnya adalah dari luar seperti Terengganu dan Kuantan.

“Jumlah pekerja di resort kami ini adalah seramai 95 orang. Kita akan membuat pertukaran lokasi kerja staf antara satu sama lain di beberapa lokasi hospitaliti kami supaya mereka mendapat pendedahan dan pengalaman baru,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette baru-baru ini.

MGF17102018_ROMPIN_47
Kemudahan kolam renang di Lanjut Beach & Golf Resort Rompin, Pahang. 

Ismail berkata, resort tersebut sudah sampai peringkat akhir untuk disiapkan dan hanya menanti beberapa fasiliti lain seperti gim, spa, peralatan lasak dan kemudahan padang golf yang belum disempurnakan secara lengkap.

MGF17102018_ROMPIN_31
Bilik yang ditawarkan di Lanjut Beach & Golf Resort Rompin, Pahang. 

Katanya, kesemua perkara itu dijangka dapat disediakan pertengahan November ini dan pembukaan perasmian resort itu dirancang akan disempurnakan oleh Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sementara itu, pengurus besar resort berkenaan, Hizam Shah Omar berkata, terdapat banyak keistimewaan di resort tersebut yang mungkin tidak ada di tempat-tempat lain.

MGF17102018_ROMPIN_41
Pengurus Besar Lanjut Beach and Golf Resort, Hizam Shah Omar.

Katanya, antaranya ialah pasir di tepian pantai sepanjang 3.5 kilometer yang seakan-akan cermin dan sangat sesuai buat peminat fotografi.

Malah jika bernasib baik, pengunjung juga dapat menyaksikan kelibat ikan lumba-lumba yang sering muncul selepas subuh di perairan Laut China Selatan.

MGF17102018_ROMPIN_30
“Pantai cermin” menjadi daya tarikan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lanjut Beach & Golf Resort Rompin, Pahang. 

“Keistimewaan di sini adalah satu pantai yang menarik seperti golden beach. Jika air pantai surut akan menjadikan satu pemandangan cantik atau mirror of the beach dan peminat fotografi suka konsep gambar pantai kami yang memang sesuai sebab refleksi gambar dan cahaya amat menarik sekali,” ujarnya.

MGF17102018_ROMPIN_34
Pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman mengutip kepah di pantai berhampiran di Lanjut Beach & Golf Resort Rompin, Pahang. 

Hizam berkata, resort tersebut memiliki sebanyak 196 bilik dengan pelbagai kategori mengikut pilihan pengunjung yang kedudukan berhadapan dengan kolam renang dan juga laut.

MGF17102018_ROMPIN_31
Bilik yang ditawarkan  di Lanjut Beach & Golf Resort Rompin, Pahang. foto IQBAL BASRI, 17 OKTOBER 2018

Katanya, Lanjut Beach & Golf Resort turut dilengkapi dengan kemudahan ballroom yang boleh memuatkan 500 orang untuk sesuatu acara jamuan serta 1,200 orang bagi sesebuah persidangan.

Jelas beliau, di resort itu juga turut disediakan landasan kapal terbang ringan yang kebiasaannya digunakan oleh pengunjung dari Singapura serta terbuka kepada sesiapa sahaja pengunjung yang datang menggunakan pesawat ringan.

Pelbagai aktiviti luar boleh dilakukan mengikut pakej yang diambil oleh pengunjung sama ada mereka mahukan acara lasak atau apa sahaja yang diminati, katanya.

“Mereka boleh mencari kepah, memanah, bermain golf di padang yang memilik 18 lubang atau aktiviti permotoran dan sebagainya,” ujarnya.

MGF17102018_ROMPIN_37
Kemudahan padang golf di Lanjut Beach & Golf Resort Rompin, Pahang. 

Dalam perkembangan sama Hizam berkata, pengunjung juga boleh membuat tempahan untuk acara makan malam mengikut tema yang dikehendaki sama ada mahu menikmati hidangan makanan laut, barbeku dan banyak lagi.

MGF17102018_ROMPIN_35
Kari Udang Galah dan Nenas Madu menjadi menu istimewa  di Lanjut Beach & Golf Resort Rompin, Pahang. 

Justeru, katanya, Lanjut Beach & Golf Resort wajar dijadikan destinasi percutian keluarga lebih-lebih lagi di musim cuti persekolahan yang bakal menjelang tidak lama lagi. – MalaysiaGazette