Mohd. Ashraf Mustaqim
Mohd. Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Exco ARMADA Malaysia, Mohd. Ashraf Mustaqim Abdul Munir mempertahankan kenyataan ketuanya, Syed Saddiq Abdul Rahman mengenai istilah ‘ketuanan Melayu’.

Menurutnya, istilah berkenaan sebenarnya kecuali yang direka-reka oleh para pemimpin ‘politik’ Melayu sebelum ini demi survival politik mereka.

“Hakikatnya bangsa Melayu sememangnya tuan yang tidak perlu dinafikan dan tidak perlu risau akan kehilangan status itu melalui kedudukan Raja-Raja Melayu yang merupakan ‘tuan sebenar’ dan dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan selama mana Majlis Raja-Raja tidak menolak kedudukan mereka sendiri dan itu sememagnya mustahil,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mohd. Ashraf Mustaqim, ‘ketuanan Melayu’ dijadikan tiket oleh pimpinan UMNO semasa menjadi kerajaan mengaut untung kekayaan negara demi faktor peribadi.

“Cuma apa yang dimaksudkan Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan) bahawa pendekatan kali ini akan lebih telus dan tidak akan kelihatan menjurus sesuatu bangsa sahaja atau menidakkan kaum lain sedangkan segala apa yang terhasil kemudiannya hanya bersifat fabrik dan tidak diterjemah dalam keadaan sebenar disebabkan salah guna kuasa dan rasuah lewat pemerintahan UMNO,” ujarnya lagi.

Syed Saddiq, katanya, mahu memastikan bahawa orang Melayu tidak akan diperbodohkan dan bangsa Melayu akan bangkit serta disegani selaku kaum majoriti yang menjadi nilai tambah utama ke atas kaum-kaum minoriti seperti Cina dan India.

“Kerana apa saya katakan bahawa ‘ketuanan Melayu’ itu hanya sekadar fabrik dan tunggangan emosi ke atas orang Melayu? Suatu pembodohan terbesar yang dilakukan khususnya oleh pemimpin UMNO kerana “mana ada tuan yang perlu ingatkan kepada orang lain bahawa dia adalah tuan?” soalnya.- MalaysiaGazette

 

Tinggalkan Jawapan