KOTA BHARU – Penyertaan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi suntikan moral kepada parti itu dan Pakatan Harapan, kata Ketua Penerangannya Mohd Radzi Md Jidin.

Mohd Radzi, yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata keputusan yang dibuat Ahli Parlimen Jeli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas itu diyakini akan memperkukuhkan lagi Bersatu terutama di Kelantan.

“Beliau yang merupakan “panglima” UMNO Kelantan dan sekarang bersama kita. Dengan ‘track record’ cemerlang dan sumbangan besar beliau kepada negara dan Kelantan, saya yakin lebih ramai lagi kepimpinan bahagian (UMNO) akan menurut jejak langkah beliau sekaligus melonjakkan Kelantan,” katanya kepada pemberita di Majlis Perjumpaan Khas Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Kelantan di sini, hari ini.

Majlis perjumpaan itu bagi mengeratkan hubungan, menyampaikan hasrat kerajaan selain memberi penekanan tentang kecekapan, ketelusan dan reformasi institusi berdasarkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Mohd Radzi berkata keputusan yang dibuat bekas Merteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sekaligus menjadikan Pakatan Harapan mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan