Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

AMPANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak terlepas daripada penularan budaya politik wang dalam pemilihan meskipun parti itu sudah menjadi kerajaan pusat sejak empat bulan lalu.

Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, parti perlu berani berdepan dengan politik wang dengan mengetatkan peraturan pemilihan parti itu pada masa akan datang.

“Apa pun keputusan pemilihan ini nanti, PKR kena lihat lebih serius supaya kita berupaya untuk mengetatkan peraturan pemilihan parti akan datang untuk memastikan kita memperbaikinya.

“Politik wang merupakan sesuatu asing dalam pemilihan PKR sebelum ini, peraturan pemilihan perlu menetapkan wang sama ada mengadakan jamuan besar-besaran di hotel boleh dianggap politik wang atau sebaliknya.

“Ia adalah proses pembelajaran buat PKR, saya bersyukur apabila dakwaan politik wang dalam pemilihan diambil perhatian oleh parti,” katanya kepada pemberita di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Cempaka hari ini.

Terdahulu, Rafizi membuat tinjauan di pusat pemilihan PKR Cabang Pandan di Dewan MPAJ Taman Cempaka di sini kira-kira 11 pagi tadi.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan parti itu.

Beliau yang merujuk pihak bertanggungjawab ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana politik wang itu kini tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Dakwanya, terdapat cabang yang menerima sogokan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM100,000 dan RM200,000 untuk berdepan dalam saingan di peringkat cabang parti.

Rafizi juga berkata, pembanterasan khususnya ketika pemilihan parti perlu dilakukan dengan tegas bagi memastikan budaya tidak sihat itu menular dalam kalangan anak muda.

“Kita perlu sedar keperluan untuk memperketatkan peraturan dan budaya politik yang melibatkan generasi muda supaya mereka tidak terlibat dengan politik wang pada masa depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan