COLOMBO – Krisis politik semakin meruncing di Sri Lanka apabila Perdana Menteri ‘tersingkir’, Ranil Wickremesinghe enggan tunduk dan berkeras untuk patuh kepada arahan penyingkiran beliau ketika ini.

Malah beliau juga enggan meninggalkan kediaman rasmi sejak Jumaat lepas dan membiarkan penyokong kuat beliau berkawal di luar kediaman rasminya.

Agensi melaporkan, Wickremesinghe, 69, juga telah memanggil sekutunya untuk bermesyuarat bagi menangani krisis ketika ini.

Wickremesinghe mendakwa penyingkirannya Jumaat lalu tidak sah serta tidak mengendahkan tarikh akhir mengosongkan kediaman rasmi itu walaupun penggantinya sudah mendapat restu perundangan negara.

Menurut pihak berkuasa Sri Lanka, polis sedang menunggu perintah mahkamah untuk mengusir Wickremesinghe yang kini dilihat sedang mencabar perlembagaan negara ini.

Kerajaan Sri Lanka melalui Presiden, Maithripala Sirisena juga telah mengarahkan kesemua anggota keselamatan serta kenderaan rasmi Wickremesinghe ditarik balik berkuatkusa serta merta.

Sirisena juga telah bertindak menutup Parlimen selama hampir tiga minggu untuk menghalang sebarang cabaran menentang pelantikan bekas orang kuat, Mahinda Rajapakse sebagai Perdana Menteri baharu.

Namun demikian, Wickremesinghe telah meminta waktu untuk mengadakan sidang tergempar bagi membuktikan beliau masih lagi Perdana Menteri yang sah ketika ini.

Seramai lebih 1000 penyokong Wickremesinghe juga turut berkerumun dan berkawal di luar kediaman rasmi bagi memastikan tiada insiden tidak di ingini berlaku kepada ketua mereka.

Rajapakse pula sedang bersiap sedia untuk mesyuarat bagi menentukan kabinet sebelum menerajui Sri Lanka pada bila-bila masa.

Sebelum ini pemerintahan Rajapakse selama sedekad pernah mendapat kecaman bukan sahaja rakyat negara ini malah dunia dengan pelbagai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dan cengkaman kuku besi. –MalaysiaGazette