KUALA LUMPUR – “Saya tidak cepat beri reaksi tetapi saya dengar dan meneliti ucapan Ketua Pemuda dan petang ini saya tanpa rasa kegusaran saya datang jumpa Pemuda,”

Itu kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Majlis Penutup Retreat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2018 di ILMU, Janda Baik, Bentong hari ini yang turut dihadiri Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Ahmad Zahid, sebagai seorang ahli politik yang datang dari ‘kilang’ Pemuda dan mengalami proses yang panjang – beliau amat memahami dan dekat dengan sayap parti berkenaan dan menghormati kenyataan Asyraf Wajdi.

Beliau berkata demikian mengulas kontroversi keputusan mesyuarat exco pemuda parti yang mahu beliau ‘bercuti’ sementara menghadapi dakwaan di mahkamah namun Ahmad Zahid sudah mengumumkan beliau tidak akan berbuat demikian baru-baru ini.

“Saya tak masuk (Pemuda UMNO) melalui tingkap tapi naik tangga dan ketuk pintu, saya tahu kalau masuk ikut tingkap orang akan tendang saya keluar,” ujarnya lagi seperti video yang dimuat naik oleh netizen di media sosial hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan sebagai presiden, beliau kini menjadi ‘pusat graviti’ kepada serangan pihak lawan seperti yang berlaku kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau juga mendedahkan dana dan aset UMNO yang bernilai RM116.7 juta kini masih dibekukan oleh pihak berkuasa dan menyukarkan pihaknya menyalurkan wang bagi membiayai kos aktiviti UMNO secara besar-besaran berbanding ketika UMNO menjadi pemerintah sebelum PRU-14 lalu.

“Itu hakikatnya.Alangkah seronok dana itu maih dalam akaun UMNO dan sudah ditakdirkan saya presiden UMNO sekarang tetapi stituasi politik berubah bukan sekadar pembekuan terhadap akauan malah sukar bagi membayar gaji kakitangan. Itu hakikat, itu fakta,” katanya.

Akibatnya, menurut Ahmad Zahid, pihaknya terpaksa mengurangkan sebanyak 40 peratus kakitangan Ibupejabat UMNO dan saki baki yang tinggal itu juga akan dipotong gaji mereka hampir separuh.

“Orang beri gambaran seolah-olah UMNO ini ada berbilion-bilion dan bila forensik dibuat kesemua aset nilai semasa UMNO hanya ada RM 867 juta sahaja dan dividen bernilai RM12 juta setahun, belanja sebulan pula RM5 juta sahaja dan setahun kos sebanyak RM60 juta,” katanya.

Beliau juga mendedahkan, gara-gara sikap selesa pimpinan UMNO, parti itu juga berdepan untuk dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada pihaknya.

Menurut beliau, ini kerana daripada kesemua 21,000 cawangan hanya 19,000 sahaja yang menghantar borang 9 kepada bahagian dan hanya 8,000 cawangan sahaja yang sampai ke ibu pejabat parti.- MalaysiaGazette