Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Akaun Amanah Tabung Harapan Malaysia (THM) akan ditutup pada 31 Disember ini selepas tujuh bulan ditubuhkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, mesyuarat jemaah menteri telah bersetuju supaya tabung yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk mengutip dana daripada individu atau organisasi bagi melunaskan hutang negara itu dihentikan.

“Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara akan mengaudit Penyata Terimaan dan Bayaran Akaun Amanah THM bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti.

“Pelantikan firma audit luaran oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan mengaudit akaun THM juga dibuat selaras dengan Seksyen 7 Akta Audit 1957.

“Ini adalah kerana Tabung Harapan Malaysia melibatkan dana yang disumbang oleh rakyat untuk membayar hutang negara yang mencecah RM1 Trilion ekoran skandal 1MDB, dan Kerajaan komited untuk terus telus dengan setiap sen yang diterima.

“Kami juga merafak sembah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di atas sumbangan baginda kepada THM,” katanya.

Jumlah terkumpul THM sehingga jam 3 petang tadi adalah sebanyak RM196. 322 juta yang merangkumi sumbangan yang diterima daripada manamana orang, organisasi atau badan serta faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Audit Negara.-MalaysiaGazette