Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK)  baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau mengambil maklum tentang laporan dan teguran yang dibuat oleh Bersih 2.0 mengenai enam kesalahan yang dilakukannya.

“Saya sambut baik teguran dia (Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Yap Swee Seng) dan kita tengok secara spesifik apa dia. Katalah, majlis yang M.Nasir dan beberapa kawan buat. Saya dijemput hadir.

“Jadi, saya tak tahu macam mana salah pulak. Saya dijemput,” katanya sambil memetik beberapa jemputan lain yang turut dibuat kepadanya sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sebelum ini merekodkan sebanyak 10 kesalahan dan salah laku pada PRK berkenaan dan ia  turut membabitkan Anwar sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dan Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar.

Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Yap Swee Seng, berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemantauan pada hari pencalonan, sepanjang kempen pilihan raya, pengundian awal, hari mengundi dan proses pengundian.

Katanya, daripada jumlah itu, enam kes membabitkan Anwar dan empat melibatkan Mohd Nazari.

Kata Swee Seng, pemantau Bersih 2.0 mendapati Anwar juga berkempen pada konsert percuma dan dua majlis makan malam namun tidak jelas siapa yang membayar untuk acara berkenaan.

Beliau menjelaskan, berdasarkan Seksyen 15A, Akta Kesalahan Pilihan Raya, perbelanjaan acara atau apa-apa majlis yang dianjurkan perlu dilaporkan dalam akaun calon dan had perbelanjaan pilihan raya bagi setiap calon Parlimen adalah RM200,000.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan