Lion Air
Pesawat Lion Air

JAKARTA – Australia mengeluarkan arahan menasihatkan para pegawai dan kakitangan kerajaan untuk tidak menggunakan perkhidmatan Lion Air berikutan kemalangan pesawat syarikat itu, penerbangan JT610, pagi ini dalam perjalanan dari Jakarta ke Pangkal Pinang di Bangka Belitung.

“Berikutan kemalangan pesawat Lion Air pada 29 Oktober 2018, para pegawai kerajaan dan kontraktor Australia telah diarahkan tidak terbang dengan Lion Air, lapor The Jakarta Post.

Keputusan ini akan dikaji semula apabila dapatan siasatan kemalangan lebih jelas,” menurut laman sesawang Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia dalam satu kenyataan.

Pengawal trafik udara hilang perhubungan dengan pesawat Lion Air pada pukul 6.33 pagi waktu tempatan, sebaik sahaja ia berlepas pada pukul 6.20 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Pesawat yang dikendalikan dua juruterbang, enam anak kapal dan 181 penumpang, termasuk tiga bayi dan kanak-kanak, terhempas di Laut Jawa, 7 batu nautikal ke utara persisir Tanjung Bungin di Karawang, Jawa Barat.

Misi mencari dan menyelamat bersama dikerahkan ke lokasi kejadian.

Antara penumpang pesawat tersebut ialah pegawai daripada pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati kelihatan sedih ketika melawat pejabat Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) di Jakarta.

Sri Mulyani berkata, 20 pegawai kerajaan berada dalam pesawat malang itu, termasuk kakitangan Perkhidmatan Aset dan Lelong Negara (KPKNL) dan Pejabat Perkhidmatan Perbendaharaan Negara (KPPN).

Beliau berkata, mereka menaiki pesawat itu untuk pulang ke Pangkal Pinang selepas meluangkan masa dengan keluarga ataupun menghadiri sambutan Hari Mata Wang ke-72 di Jakarta pada hujung minggu.

“Saya khuatir dengan nasib mereka,” kata Sri Mulyani.

Terdapat juga seorang pegawai Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan dan empat orang kakitangan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral berada dalam pesawat berkenaan. – Agensi