Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dalam lubang tadahan air dengan kesan tikaman di seluruh tubuh di Ladang Kambau, Kota Tinggi, dua hari lepas.

KINABATANGAN – Perselisihan faham akibat dituduh mempunyai isteri lain kerana sering keluar malam menjadi motif tindakan seorang lelaki menetak isterinya hingga mati di Perumahan Pekerja Ladang Pintasan 5B dekat sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata identiti mangsa telah dikenal pasti sebagai Ira Binti Sumang, 27, warganegara Indonesia yang baru bekerja sebulan di ladang kelapa sawit itu sebagai pengutip biji buah sawit dan penabur baja.

Katanya suaminya yang berusia 31 tahun juga warganegara Indonesia ditangkap pada 8.45 pagi semalam ketika bersembunyi di Perumahan Pekerja Kilang Kwantas Palm Oil dekat sini.

Sebilah parang yang disyaki digunakan lelaki itu untuk menetak isterinya juga dijumpai, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam Sabtu lepas, mayat Ira ditemukan dengan kesan tetakan di muka, kepala, tangan kanan dan tangan kiri.

Polis menemukan enam anggota badan mangsa iaitu jari kiri dan kanan yang putus akibat ditetak di dalam rumah tersebut.

A. Sahak berkata ujian air kencing awal terhadap lelaki itu menunjukkan keputusan negatif tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA