Zamani
Zamani Slam. foto IQBAL BASRI, 19 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Penyanyi Zamani bernasib baik tidak tersingkir dalam Gegar Vaganza kelima (GV5) kerana mendapat imuniti daripada penaja, Datuk Seri Aliff Syukri.

Pengasas D’Herbs itu berbuat demikian kerana berpendapat tidak adil buat Zamani berikutan dia tidak dapat membuat persembahan gara-gara masalah kesihatan.

Juri tetap, Datuk Ramli MS berkata, beliau dan juri lain telah membuat penjurian mengikut piawaian pertandingan untuk menyingkirkan Zamani.

“Tidak adil untuk mengekalkan Zamani kerana akan datang, jika ada peserta yang sakit lagi, pihak produksi perlu simpan untuk minggu akan datang.

“Saya tahu dia berdepan masalah peti suara koyak dan memang tidak boleh menyanyi,” katanya selepas pengumuman pada akhir program yang telah menyingkirkan penyanyi berusia 47 tahun.

Ramli memberitahu, Zamani mempunyai masalah suara sebelum malam latihan dan sudah diminta membuat pemeriksaan doktor.

Sebelum itu, vokalis kumpulan Slam itu hanya diam dan menundukkan kepala ketika gilirannya menyampaikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta.

Suasana menjadi emosi apabila penonton yang hadir membantu menyanyikan bersama-sama termasuk dua juri lain, Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk AC Mizal.

Selain Zamani, peserta yang bakal meneruskan ke minggu keenam ialah Noryn Aziz, Mya Ruslee, Dia Fadila, Forteen, Farawahida, Hetty Sarlene, Amelina dan gandingan Billyzulkarnain.

Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan