Ibrahim Ali
Presiden Jawatankuasa Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali (tengah) menunjukkan borang penyerahan draf pelembagaan pendaftaran parti selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung pendaftaran parti itu di Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Permohonan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dijangka diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selewat-lewatnya awal November ini.

Presiden penajanya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, beliau yakin permohonan parti itu yang dibuat pada 17 Ogos lepas akan diluluskan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang diibaratkannya sebagai kerajaan langit terbuka.

Katanya, jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) boleh diluluskan dalam tempoh 30 hari pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN), tidak mungkin permohonan Putra dibawah pentadbiran PH tidak boleh diluluskan secara cepat.

“Saya yakin dilulus. Saya tak nak berfikiran negatif kerana Pakatan Harapan ini kerajaan terbuka di bawah langit.

“Kalau LGBT boleh diadakan, kegiatan Oktoberfest pun boleh buat benda-benda yang pelik-pelik pun boleh buat, takkanlah tak boleh nak luluskan permohonan Putra. Jangan buat malu la,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menguals lanjut beliau berkata, ROS ketika ini sedang meneliti secara terinci Perlembagaan parti itu bagi memastikan ia sempurna agar tidak timbul sebarang bantahan dalam parti ahli ketika beroperasi nanti.

Katanya, langkah itu bagi mengelak berlakunya sebarang insiden sebagaimana yang terjadi dalam parti-parti tertentu ketika ini.

Dalam pada itu Ibrahim menjelaskan, Putra belum lagi berhasrat untuk bersandar kepada mana-mana parti politik lain dan ketika ini bertumpu untuk mendokong agenda perjuangan Melayu, Bumiputera dan Islam.

Terdahulu, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), Masyati Abang Ibrahim.

Pertemuan tersebut bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung permohonan bagi endapatkan kelulusan parti pimpinannya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan