Rina
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran sambil diiringi Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhammad Yunus (kiri) pada Majlis Pelancaran Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar di Dewan Seri Lestari, Kementerian Luar Bandar, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar (KPLB) hari ini melancarkan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pelaksanaan transformasi berkenaan dirangka untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini dengan penumpuan kepada enam terus utama iaitu prasarana, pembangunan belia, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian.

Beliau menjelaskan, secara keseluruhan terdapat 29 strategi dan 94 program akan dilaksanakan di bawah enam teras itu termasuk lapan program utama.

“KPLB memilih tema Luar Bandar Sejahtera bagi mencapai aspirasi kawasan luar bandar sebagai kawasan yang kondusif untuk seronok didiami, menjana pendapatan dan membina kehidupan.

“Pembangunan ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan infrastruktur tetapi juga ekonomi dan modal insan yang akan memacu pertumbuhan kawasan luar bandar.

“Melalui pembangunan luar bandar inklusif, ia akan menaiktaraf dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta memenuhi keperluan sosioekonomi, fizikal, rohani dah sahsiah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media selepas merasmikan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar di kementeriannya di sini.

Rina menambah, pihaknya turut menyasarkan pengurangan pertindihan projek dalam pelan itu agar semua pelaksanaan dapat dijalankan dengan lancar dan tidak berlaku kelewatan.

Jelas beliau pada masa sama, isu ketirisan juga perlu dikurangkan kerana kementerian berdepan sumber kewangan terhad namun perlu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Selepas ini kami perlu duduk dan berbincang untuk menyelaraskan senarai program agar tidak berlaku pertindihan di antara jabatan dan kementerian lain.

“Kami juga menjangkakan terdapat peningkatan antara 20 hingga 25 peratus peluang pekerjaan menerusi Pelan Harapan ini menerusi bidang keusahawan selain peluang mendapat kemahiran untuk memenuhi pasaran kerja,” katanya.

Rina menambah terdapat pelbagai cabaran baharu untuk membangunkan luar bandar dalam era globalisasi dan kepesatan teknologi maklumat.

Ini kerana katanya perubahan terhadap ekonomi global akan memberi kesan kepada aktiviti ekonomi penduduk luar badar yang boleh menjejaskan pendapatan mereka.

“Masyarakat luar bandar perlu bersedia menghadapi cabaran baharu seperti penekanan kepada ekonomi digital, liberalisasi, perubahan iklim dan bencana alam serta perubahan pemakanan yang memberi kesan kepada permintaan dalam sektor pertanian,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan