Menurut Ketua (Perhubungan Awam & Dalaman) TNB Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai untuk segera menghubungi TNB jika premis mereka dinaiki air akibat banjir berikutan permulaan monsun timur laut bagi membolehkan syarikat utiliti nasional tersebut menghentikan bekalan demi keselamatan.

Menurut Ketua (Perhubungan Awam & Dalaman) TNB Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin, TNB sentiasa mengawasi keadaan dari semasa ke semasa dan akan menutup bekalan ke pencawang di kawasan banjir sekiranya paras air mencecah tahap bahaya.

“Penutupan bekalan elektrik ke kawasan terlibat dibuat untuk sementara waktu demi memastikan keselamatan orang awam terjamin dan ia akan disambung semula setelah air banjir surut dan keadaan kembali selamat.

“Sila hubungi pejabat TNB yang berdekatan, TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline sebaik paras air meningkat supaya bekalan elektrik boleh diputuskan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan Metreologi Malaysia dalam satu kenyataan pada 26 Okt lalu memaklumkan bahawa monsun timur laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 27 Okt hingga Mac 2019.

Hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor pada November dan Disember 2018.

Mohd Aminuddin menasihatkan pengguna premis yang dinaiki air supaya menghindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan perlu mematikan suis utama bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku.

“Suis elektrik dan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir perlu diperiksa dan diuji terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum digunakan semula”, katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi tindak-tanduk anak mereka agar tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang atau wayar elektrik yang terputus semasa banjir kerana arus elektrik mungkin masih mengalir.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan