Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mendedahkan tidak mampu menangani isu lambakan pekerja asing yang dilihat sudah mula membanjiri industri pertanian ketika ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, isu lambakan pekerja asing yang kini sudah mampu bersaing bersama-sama dengan warga tempatan dari kebun sehingga ke pasar perlu ditangani bersama-sama agensi kerajaan lain.

Kata Salahuddin, beliau amat prihatin dengan isu ini, apatah lagi rata-rata pekerja asing ini yang pada asalnya hanya pekerja biasa kini sudah memiliki tapak dan kebun mereka sendiri.

“Saya sedia maklum tentang perkara ini malah ianya sudah sangat membimbangkan terutamanya apabila negara ketika ini sedang membangun dengan pesat.

“Tetapi isu ini perlu ditangani secara holistik dan bersama-sama dengan kementerian serta agensi kerajaan yang lain. Kita dalam MOA tidak mempunyai kuasa untuk mengawal kebanjiran pekerja asing.

“Kita juga memerlukan sebuah jawatankuasa pada peringkat tertinggi iaitu Kabinet bagi duduk semeja membincangkan cara menangani perkara ini, setakat ini kami dalam MOA dapat menggunakan peruntukan yang disediakan untuk menarik minat khasnya golongan belia untuk lebih berminat dengan industri pertanian,” katanya.

Datuk Seri M. SaravananBeliau berkata demikian ketika sesi jawapan tambahan oleh Ahli Parlimen Tapah (BN), Datuk Seri M. Saravanan tentang apakah tindakan diambil MOA berhubung kebanjiran warga asing yang kini hampir menguasai industri pertanian berbanding rakyat tempatan.

“Dari kebun sehingga tapak-tapak di pasar, semuanya dibanjiri dengan lambakan pekerja asing ketika ini. Apakah rancangan kerajaan untuk menangani isu ini yang semakin membimbangkan.

“Apakah rancangan MOA dalam menarik minat terutamanya golongan belia dalam industri pertanian yang kini seperti dikuasai oleh warga asing” soal Saravanan. –MalaysiaGazette