Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa telah bertindak membatalkan pasport diplomatik milik Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkuatkuasa 19 September lepas.

Menurut Kementerian Luar melalui jawapan bertulis menyatakan pasport diplomatik yang telah dikeluarkan oleh kerajaan terdahulu kepada peguam Datuk Seri Najib Razak telah ditarik balik dan dibatalkan berkuatkuasa serta merta.

Jelas jawapan bertulis itu lagi, pasport diplomatik itu dikeluarkan kerajaan kepada Muhammad Shafee atas kapasiti sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan untuk tempoh tahun 2009 hingga tahun 2015.

Muhammad Shafee juga dilantik kerajaan BN menjadi Duta Besar Tugas-tugas Khas mengenai Hak Asasi Manusia antara 2016 dan 2018 untuk membolehkan beliau menggunakan pasport tersebut.

“Pasport diplomatik itu diberikan untuk memudahkan Shafee menjalankan tugas sebagai wakil rasmi Malaysia.

“Namun, baru-baru ini Kementerian Luar telah mengambil pendekatan untuk menarik balik serta membatalkan pasport diplomatik tersebut pada 19 September lalu,” katanya.

Jawapan itu dinyatakan sebagai penjelasan selepas Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong (PH) mahu mengetahui status pasport Muhammad Shafee memandangkan kini beliau bukan lagi berstatus diplomat.

Ketika ini, selain mewakili Najib sebagai peguam pembela untuk kes-kes beliau, Muhammad Shafee sendiri kini sedang berdepan dengan dua tuduhan penggubahan wan haram serta rasuah melibatkan jumlah sebanyak RM9.5 juta.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah menetapkan pengurusan kes berkenaan akan dibuat pada Disember depan. -MalaysiaGazette