Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai
Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Barisan Nasional (BN) kini hanyalah pakatan politik yang tinggal nama sahaja dan jalan tunggal yang ada ialah membubarkannya.

Beliau berkata, MCA sebagai pengasas hanya akan merendahkan darjat sendiri jika ia meninggalkan BN  kerana bukan parti itu yang melakukan kesalahan.

“BN sudah tidak mampu mendapat sokongan rakyat dan tiada maknanya untuk meneruskan keberlangsungannya.

“Pembubaran merupakan cara terbaik, dan bukannya meminta MCA meninggalkan BN,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Kedudukan MCA dalam BN telah menjadi isu hangat dalam pemilihan parti itu.

Kata Tiong Lai, BN pada asalnya merupakan lambang kesederhanaan, keharmonian dan perpaduan.

“Walaupun MCA ialah parti berasaskan kaum, tetapi kami memperjuangkan kepelbagaian.

“Kini UMNO telah bekerjasama dengan Pas yang memperjuangkan negara teokrasi dan ekstrim, sesuatu yang bertentangan dengan matlamat asal BN. Oleh itu, sudah tiba masa untuk bubarkan BN,” katanya.

Tiong Lai berkata, selepas dibubarkan, parti komponen boleh melakukan reformasi berdasarkan autonomi masing-masing.

“Ketika berdepan pilihan raya pada masa depan, kami boleh membentuk pakatan baharu jika mempunyai persefahaman dan pendirian sama,” katanya.

Menurut Tiong Lai, soal pembubaran telah diungkitkan dengan UMNO dan MIC dan masing-masing ada “persediaan psikologi” untuk menghadapi pembubaran.

“Apabila BN kalah, kami tidak meninggalkan terus kerana tindakan seperti ini bagaikan menambahkan kesusahan yang menimpa.

“Kami tidak bimbang dengan UMNO, tetapi kami pernah menikmati hubungan yang agak baik dengan orang Melayu sebelum ini, kami tidak mahu keluar pada saat sedemikian sehingga melukakan perasaan orang,” katanya.

Kata Tiong Lai, memandangkan semua parti komponen BN kini merupakan pembangkang, maka pakatan politik tidak lagi diperlukan.

“Kita boleh bergabung tenaga sebagai pembangkang jika mempunyai pendirian sama mengenai satu-satu isu walaupun tiada pakatan yang formal,” katanya. – MalaysiaGazette