Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media isu pembelian rumah pertama dan PPR di Bilik Media, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Presint 4, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Dalam situasi tertentu penyertaan bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti komponen Pakatan Harapan memberikan kebaikan, kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

Sebaliknya daripada satu aspek, beliau menganggap tindakan itu tidak baik namun tidak mengulas lanjut mengenai pendirianya itu.

“Dalam hal tertentu mungkin ia boleh jadi bagus untuk PH dan tidak bagus juga untuk perkara tertentu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai bahawa penerimaan bekas Ahli Parlimen UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai amalan tidak sihat.

Tambah beliau, apa yang dikatakan oleh pemimpin DAP itu akan diperhalusi dalam mesyuarat Presiden Pakatan Harapan yang berlangsung pada Sabtu ini.

“Saya tidak tahu apa maksudnya (Tan Kok Wai) tentang ‘tidak sihat’ itu jadi biarkan ia dibincangkan dulu pada mesyuarat,” ujarnya.

Kok Wai menyatakan demikian sebagai merujuk tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai PPBM baru-baru ini.

Kemudian Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk A Kadir Jasin turut mendakwa seramai 40 Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti bagi menyertai PPBM tidak lama lagi. -MalaysiaGazette