Sirajuddin Salleh
Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR – Kenyataan zaman Ketuanan Melayu telah berakhir oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terang-terangan mengancam kedudukan kaum Melayu, pribumi dan penduduk asal negara ini.

Malah tegas Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh, perkataan kesaksamaan, bukan kesamarataan sebagai penghapusan Ketuanan Melayu juga amat membinggung dan mengelirukan.

Ini bermakna, katanya, kenyataan beliau itu membawa maksud ‘tidak ada lagi Ketuanan Melayu’ yang menggambarkan pemilikan Melayu ke atas negara ini, keistimewaan Melayu seperti yang tertera dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan secara total.

“Kenyataan yang mentah begini menampakkan beliau tidak tahu sejarah negara dan sejarah kaum yang berada di bumi bertuah ini.

“Nampak benar beliau tidak tahu Wasiat Raja-Raja Melayu dan Kontrak Sosial atau apakah beliau sudah ‘diupah’ dan menjadi kuda tunggangan kepada puak tertentu?” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Syed Saddiq sebagaimana laporan akhbar Mingguan Malaysia semalam, yang disebut sebagai berkata, zaman ketuanan Melayu telah berakhir dan Malaysia sedang bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan, tetapi bukan kesamarataan.

Menurut Sirajuddin, amat malang dan menyedihkan kenyataan itu diumumkan secara rasmi oleh seorang menteri berketurunan Melayu dan beragama Islam pada Forum Ekonomi Belia 2018 dan dilaporkan secara meluas oleh media massa.

Katanya, bertepuk tanganlah puak bukan Bumiputera dan mereka yang memperjuangkan ‘Malaysian Malaysia’ selama ini.

Ini ujar beliau, tentunya merupakan berita yang amat menggembirakan bagi mereka yang selama ini menunggu agar kenyataan seperti itu diumumkan oleh kerajaan yang memerintah, bukan daripada kumpulan parti politik pembangkang.

Kata Sirajuddin, Perkasa yang sentiasa berpendirian dan konsisten membela agama Islam dan bangsa Melayu dengan penuh tanggungjawab, mendesak kenyataan itu ditarik balik segera tanpa kompromi kerana jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga sekali gus mencampak Wasiat Raja-Raja Melayu dan Kontrak Sosial yang menjadi asas kepada pembinaan kemerdekaan negara.

“Perkasa dengan ini mendesak agar menteri berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh kaum Melayu dan pribumi serta menarik balik kenyataan tersebut dengan segera.

“Kita mengingatkan juga dan menggesa agar Syed Saddiq mengkaji, meneliti dan memahami sejarah dan Perlembagaan Persekutuan sebelum membuat sesuatu kenyataan yang bukan sahaja mengguris hati dan perasaan orang Melayu, tetapi implikasinya juga jatuh kepada menteri tersebut sebagai tidak matang dan berwibawa,” ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, Perkara menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik Melayu yang lain bangun menentang perkara itu.

Jelas beliau, Perkasa tidak teragak-agak mengusulkan dan menganjurkan tindakan lebih keras sekiranya kenyataan itu tidak ditarik balik kerana ia sangat menghina kaum Melayu dan Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan