Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

PUTRAJAYA – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak mungkin menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), kata presiden penajanya, Datul Dr. Ibrahim Ali.

Menurutnya, apabila melihat matlamat untuk memperjuangkan Melayu, bumiputera dan Islam tidak akan tercapai sekiranya Putra menjadi sebahagian daripada gabungan dalam PH ekoran parti itu yang dilihat mendokong hak kesamarataan.

“Untuk menyertai Parti Bersatu kita lihat parti itu bersama dalam PH. Walaupun Bersatu itu parti yang mendokong agenda Melayu Islam dari segi perlembagaan tetapi dari segi hakikatnya mereka terikat dengan PH yang amat jelas bertentangan dengan Pprlembagaan Bersatu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ibrahim menegaskan, tidak menyertai Bersatu kerana tahu akan menghadapi kesukaran untuk memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam dengan lantang kerana pihaknya akan terikat dengan perlembagaan PH.

Beliau mendakwa, PH adalah sebuah parti yang mendokong kepada liberalisme serta sosialisme dan bercampur aduk hingga menyukarkan perjuangan terhadap agenda Melayu dan Islam.

Menyentuh mengenai PKR yang turut bergabung dengan PH, Ibrahim berkata, perjuangan membela nasib Melayu dan bumiputera dalam parti itu juga lebih sukar kerana ia mengamalkan prinsip kepelbagaian kaum.

“Pas pula hanya parti yang boleh diterima di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu. Dasar Pas pula walaupun memperjuangkan Islam tetapi memang sukar untuk orang-orang di pantai barat menyertai Pas.

“Jadi, di sini sebenarnya (Parti Putra) yang boleh menjadi pembetul dalam mendokong Melayu dan Islam. Yang boleh menggantikan UMNO sebenarnya ialah Parti Putra,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan