Lion Air
Antara serpihan pesawat Lion Air yang ditemui pasukan mencari dan menyelamat.

KUALA LUMPUR – Tiada rakyat negara ini menjadi mangsa dalam nahas kapal terbang Lion Air JT-610 yang terhempas ke dalam laut pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata, pihaknya masih memantau dengan mengadakan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai nahas berkenaan.

“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat di dalam kejadian ini.

Pihak kedutaan akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan terkini,” demikian menurut kenyataan yang sama.

Pesawat jenis Boeing 737-800 tersebut membawa seramai 188 orang penumpang termasuk seorang kanak-kanak, dua bayi serta tujuh orang krew, dalam penerbangan dari Jakarta ke Pangkal Pinang, Kepulauan Bangka Belitung.

Perkembangan terkini mengenai nahas mendapati penyelamat Indonesia menjumpai cebisan mayat hari ini selepas pesawat Lion Air terjunam ke dalam laut.

“Usaha mencari dan menyelamat masih giat dilaksanakan oleh pasukan Search and Rescue – SAR Indonesia di lokasi kejadian.

“Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan butiran terperinci mangsa yang terlibat,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat lanjut mengenai kejadian ini boleh menghubungi pihak Kedutaan menerusi e mel [email protected]/[email protected] atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (whatsapp). -MalaysiaGazette