Ibrahim Ali
Presiden Jawatankuasa Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung pendaftaran parti itu di Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali menyifatkan individu yang semakin galak keluar parti kini terkena ‘kena pada batang hidung sendiri’

Dahulu, menurutnya, mereka menuduhnya sebagai suka lompat parti.

“Sekarang ini, semua bertukar parti, Tun Mahathir (Mohamad) bertukar parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar parti, Ku Li dulu pun tak boleh masuk UMNO tubuh Semangat 46, semua bertukar parti.

“Tetapi, saya amat terkejut yang turut keluar parti Datuk Mustapa Mohamed (keluar UMNO),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, keputusan Ahli Parlimen Jeli itu keluar UMNO sememangnya mengejutkan kerana beliau merupakan individu yang paling dikenali di dalam parti itu dan merupakan orang lama.

“Dia kalah pilihan raya pun dia tetap ada jawatan. Dulu sekali dia kalah dia diberi jawatan bertaraf menteri.

“Di Kelantan, semua jawatan UMNO dia dapat. Pengerusi Perhubungan, Ketua Penerangan, Majlis Tertinggi, menteri banyak kementerian. Hebat dia.

“Tapi, bila tiba-tiba UMNO kalah, saya ingat dialah orang terakhir akan bertukar parti, sebab darah daging dan jawatan yang dipegang adalah UMNO,” ujarnya.

Ibrahim mendakwa, sikap yang ditunjukkan oleh Mustapa itu tidak menunjukkan beliau seorang yang bersih.

Sambil memberikan contoh definisi bersih bukan sahaja kerana latar belakang individu yang tidak terlibat dengan rasuah malah tidak lompat parti juga boleh dikaitkan dengan itu.

“Saya tak pernah tukar parti, walaupun saya disebut lompat. Dulu saya bertukar parti kerana dibuang, saya dipecat. UMNO diharamkan, Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) tubuh Semangat 46, saya masuk 46.

“Semangat 46 gagal saya masuk UMNO balik kerana perpaduan Melayu. Saya kekal dalam UMNO. Elok saya duduk dalam UMNO, Pak Lah (Tun Abdulah Ahmad Badawi) gugur saya sebagai ketua bahagian. Saya protes saya bertanding bebas. Saya tidak lompat parti,” tegasnya.

Pada minggu lalu, Mustapa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lantaran yakin ia memberi peluang kepada dirinya memainkan peranan lebih berkesan membela kepentingan pengundi di Jeli dan rakyat Kelantan.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau menyokong usaha Mahathir untuk mewujudkan tadbir urus yang lebih baik dalam kerajaan dan parti politik. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan