Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa pemimpin dan ahli UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ini kerana menurut bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas itu, selepas Dr Mahathir tidak lagi bersama parti itu, beliau selalu membuat kenyataan menyindir seolah pemimpin dan ahli UMNO begitu jijik sekali.

“Saya tak cadang nak komen, tapi kerana media bertanya, saya jawablah, yang saya terkejut dia pelawa orang UMNO masuk Bersatu kerana Tun lihat orang UMNO begitu jijik sekali.

“Kalau ikut kenyataannya sebelum ini, maknanya UMNO ni seolah parti yang tidak laku satu sen pun, tak ada yang bagus pemimpin dan ahli UMNO ini, rasuah dan sebagainya, tapi dia (tiba-tiba) jemput masuk PPBM.

“Saya tak tahu apa niat dan maksud dia buat kenyataan secara tiba-tiba itu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, semalam.

Menurut Dr Ibrahim, tindakan Dr Mahathir meletakkan syarat kepada pemimpin dan ahli UMNO yang menyertai PPBM tidak boleh bertanding atau pegang apa saja jawatan selama tempoh satu tahun juga, menunjukkan Pengerusi parti itu tidak ikhlas dan mempunyai motif tertentu.

Katanya, jika ini pendirian PPBM, mungkin tidak akan ada pemimpin dan ahli UMNO yang akan menyertainya terutama dari kalangan pertengahan, atasan termasuk Ahli-Ahli Parlimen.

“Kalau yang berebut minat menyertai PPBM pun hanya orang kampung yang mereka lihat UMNO sudah kalah dan kontraktor kelas F yang mengejar projek jangka pendek.

“Golongan pertengahan dan atasan termasuk Ahli Parlimen UMNO tidak berminat kerana mereka dihalang bertanding jawatan dalam PPBM dan projek besar atau projek baharu sudah tidak ada lagi kerana kekangan ekonomi.

Tambahan pula, ujar beliau, PPBM hanya sebuah parti yang tertenggek pada Pakatan Harapan yang ditunjangi PKR dan DAP.

“PPBM terikat dengan PH yang mendokong manifesto dan dasar parti iaitu kesamarataan. Jadi, apa maknanya dasar dalam PPBM?” katanya.

Beliau berkata, hakikat perjuangan PPBM dan UMNO sangat berbeza, terutamanya dasar yang dilaksanakan oleh UMNO amat jelas, tetapi malangnya parti itu dituduh kleptokrasi.

“(Bekas) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berkuasa dulu pula gagal menangani isu tuduhan rasuah sehingga rakyat hilang kepercayaan kepadanya.

“Rakyat bukan hilang kepercayaan pada dasar BN, tapi pada Najib,” katanya. – MalaysiaGazette