Lion Air
Pesawat Lion Air

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa sedih dengan kejadian sebuah pesawat Lion Air yang dipercayai terhempas pagi tadi.

Menurut beliau, Putrajaya terkejut dengan tragedi hitam yang dipercayai meragut semua nyawa 189 penumpang dan anak kapal.

“Saya sedih dan terkejut menerima berita pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Karawang pagi tadi.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini,” demikian menurut Mahathir di Twitter rasminya hari ini.

Pihak berkuasa Indonesia dilaporkan telah memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pesawat Lion Air JT 610 itu meninggalkan lapangan terbang di Jakarta itu jam 6.20 pagi waktu tempatan dan terputus hubungan dengan pihak kawalan trafik udara jam 6.33 pagi.

Ia dijadualkan tiba di Pangkalpinang pada jam 7.20 pagi (waktu Indonesia).

Memetik laporan Astro Awani, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dilaporkan telah mengenalpasti lokasi kotak hitam pesawat malang, Lion Air JT610.

Menurut Timbalan Bahagian Operasi Pencarian, Pertolongan dan Kesiapsiagaan (BASARNAS), Mejar Jeneral Nughroho Budi Wiryanto, operasi mencari dan menyelamat sedang dipergiat.

Turut dilaporkan dua mangsa telah dijumpai dan dibawa ke Tanjong Priok untuk proses pengecaman. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan