Program realiti televisyen, Manhajj Mutawiff musim kedua akan mula bersiaran pada Januari depan.

SHAH ALAM  – Program realiti televisyen pencarian mutawiff, Manhajj Mutawwif kembali lagi untuk musim kedua dengan menampilkan elemen segar dan pembaharuan.

Penerbitnya, Abd Halim Ikhsan berkata, musim terbaharu ini lebih menarik kerana akan melibatkan pertandingan dalam kalangan empat buah negara iaitu iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Beliau menjelaskan, para peserta akan mengharungi cabaran dan tugasan sebelum dinobatkan sebagai Mutawwif Terunggul Manhajj Mutawwif Nusantara.

“Untuk musim kedua, program ini akan menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman serta panel juri yang berkaliber dan berwibawa.

“Antara elemen baharu lain diperkenalkan adalah sketsa dari barisan pelawak popular tanah air dalam usaha menarik minat penonton bagi memberi ilmu pengetahuan kepada mereka.

“Seperti musim lalu, para peserta akan bersaing dalam lapan konsert termasuk final dengan tugasan yang akan mengupaskan persoalan berkaitan umrah dan permasalahannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Aplikasi Manhajj dan Program Televisyen Manhajj Mutawwif musim kedua di IDCC Shah Alam, Menara Korporat di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah.

224B5446
Penerbit Manhajj Mutawwif, Abd Halim Ikhsan.

Abd Halim menambah, musim kedua juga menyaksikan seorang hos wanita akan digandingan dengan hos asal, Amin Idris bagi mengantikan Shuib Sepahtu.

Katanya, hos wanita diperlukan kerana bagi mengimbangi permasalahan kerana kaum wanita juga ramai menunaikan  umrah.

“Hos tersebut akan diumumkan kemudian manakala lokasi ujibakat akan hanya diadakan di Kuala Lumpur pada Disember ini.

“Calon peserta dari tiga negara terbabit perlu hadir ke sini untuk menghadiri ujibakat dan bagi musim kedua, kami akan memilih peserta yang memiliki latar belakang pendidikan agama dan juga yang tidak latar belakang tersebut,” katanya.

Abd Halim memberitahu, program yang berunsur dakwah itu terus komited untuk mengangkat profesion sebagai mutawwif agar lebih dikenali serta dihargai masyarakat.

“Mutawwif merupakan satu pekerjaan yang mulia di sisi Islam di mana mereka bertindak sebagai pemimpin umat Islam ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah.

“Tapi sayangnya peranan dan pengetahuan masyarakat terhadap pekerjaan ini masih kurang. Harapan saya melalui rancangan ini mutawwif akan lebih dikenali,” katanya.

Program selama satu jam setengah itu akan mula ditayangkan pada 25 Januari 2019.

Manhajj musim pertama yang bersiaran bermula Mac hingga Mei lalu menobatkan Ahmad Syafik Samat sebagai juara yang berjaya membawa pulang wang tunai RM100,000 dan juga trofi..

Naib juara menjadi milik Muhammad Syafiq Abdul Rashid (RM50,000 dan trofi), tempat ketiga dimenangi Wan Mohd. Taufik Wan Marzuki (RM30,000) dan tempat keempat adalah Muhammad Mustakim Abd. Rahim (RM10,000 dan trofi).

Tinggalkan Jawapan