Seni lukisan kollam di lantai terbesar oleh Astro Seithigal mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Bahang pesta cahaya atau Deepavali semakin terasa.

Rata-rata masyarakat India di negara ini semakin sibuk melakukan pelbagai persiapan bagi menyambut hari kebesaran minggu depan.

Astro Seithigal juga tidak ketinggalan apabila membuat kejutan dengan tampil menghasilkan seni lukisan lantai atau dikenali sebagai kollam sehingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book Records (MBOR).

Anugerah itu diberikan kepada Astro Seithigal kerana berjaya menghasilkan ‘Seni Potret Terbesar’ hanya dengan menggunakan bijian pelbagai warna baru-baru ini.

Lakaran kollam itu sungguh unik serta berwarna warni dengan mempamerkan potret seorang wanita India yang memakai sari sambil memegang vilakku atau  lampu minyak’.

Hasil lakaran kollam yang berukuran 1,600 kaki persegi itu mula dipamerkan kepada umum sejak 29 Oktober sehingga 2 November ini di IOI City Mall, Putrajaya.

Menariknya, kollam itu telah mengambil kira-kira 12 jam untuk disiapkan oleh seramai 23 orang yang juga merupakan sukarelawan syarikat produksi bahasa Tamil itu.

Menurut Naib Presiden Kanan Astro Seithgal, Bahagian Perniagaan Segmen India Astro, Dr. Rajamani Chellamuthu, pihaknya tampil dengan idea itu bukan kerana Deepavali sebaliknya juga untuk menonjolkan kekayaan kebudayaan masyarakat India di negara ini.

“Saya ingin ucapkan tahniah kerana dedikasi serta komitmen yang ditonjolkan oleh Astro Seithigal dalam penghasilan kollam ini. Sudah tentu kegembiraan ini jauh lebih manis apabila kita menerima pula pengiktirafan daripada MBOR.

“Lakaran kolam adalah simbolik kepada makna sebenar Deepavali kerana ia mewakili cahaya dalaman kita yang melindungi diri daripada kegelapan rohani. Kami mengalu-alukan kehadiran semua orang untuk melihat kolam tersebut yang dipamerkan di IOI City Mall, Putrajaya bagi melihat sendiri seni lakaran ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Astro Seithigal dapat pengiktirafan
Pasukan serta sukarelawan terlibat dalam penghasilan Kollam terbesar di negara ini.

Seni lukisan kollam di lantai yang sering dijadikan hiasan oleh kaum India di hadapan rumah terutamanya menjelang perayaan Deepavali adalah bagi mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Selain itu, kollam ini turut menjadi penyeri semasa majlis perkahwinan dan keagamaan.

Kelapa parut kering, beras, sagu, bunga atau serbuk warna merupakan bahan utama dalam proses pembuatan kollam.

Dalam kalangan masyarakat India, lukisan kollam ialah satu seni yang mencerminkan kebudayaan masyarakat Tamil atau India Selatan yang tulen. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan