Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir pada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Perdana Putra, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 OKTOBER 2018
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir pada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Perdana Putra, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Semua cuti anggota penyelamat dan pasukan pengurusan bencana dibekukan bermula November hingga Disember depan sebagai persediaan bagi menghadapi bencana banjir semasa Monsun Timur Laut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara agensi yang terlibat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut beliau, berdasarkan pembentangan Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut telah bermula pada 27 Oktober lepas dan dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan.

“Amaran hujan lebat berterusan peringkat waspada (kuning) pada 29 Oktober hingga 1 November telahpun dikeluarkan bagi negeri Kelantan dan Terengganu pada 27 Oktober 2018.

“Pada hari yang sama, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kepada agensi-agensi berkaitan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat Perdana Putra di sini petang tadi.

Menurut Wan Azizah, bagi tujuan itu pasukan Polis Diraja Malaysia telah diminta supaya menggerakkkan aset dan keanggotaan sedia ada yang jumlahnya seramai 31,531 orang di seluruh kontinjen.

Katanya, ketua polis daerah, ketua polis negeri dan pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam selaku komander operasi di peringkat daerah, negeri dan pusat hendaklah dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk mengetuai operasi.

Tambah beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut mengatur gerak pusat pemindahan banjir yang berjumlah 5,448 bagi menampung kapasiti seramai 1.65 juta mangsa.

“Seramai 6,499 pegawai, 186 kaunselor, 839 Pasukan Penyokong Psikology dan 5,620 sukarelawan JKM perlu digerakkan.

“Depot dan stor si peringkat negeri dan daerah hendaklah telah selesai membuat penambahan stok.

“Terdapat lima depo simpanan, 165 stor bencana dan 581 pengkalan hadapan sedia untuk digunakan,” ujarnya.

Katanya lagi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga turut dikerahkan untuk mengatur gerak kesiapsiagaan untuk pemindahaan haiwan semasa banjir. – MalaysiaGazette