Datuk Seri Hasan Arifin menjelaskan dakwaan laporan Jabatan Audit Negara berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini telah dipinda atas arahan pihak tertentu, tidak berlaku ketika beliau menjadi pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Datuk Seri Hasan Arifin menjelaskan dakwaan laporan Jabatan Audit Negara berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini telah dipinda atas arahan pihak tertentu, tidak berlaku ketika beliau menjadi pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hasan Arifin menjelaskan dakwaan laporan Jabatan Audit Negara berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini telah dipinda atas arahan pihak tertentu, tidak berlaku ketika beliau menjadi pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau berkata dakwaan Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh yang diutarakan ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke- 11 (RMK-11) semalam itu kurang jelas.

“Itu bukan masa saya. Sebenarnya, saya pun tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh timbalan pengerusi PAC. Dakwaan itu tidak dijelaskan dengan betul.

“Setahu saya, apa yang dibentangkan kepada kita, itulah yang kita dapat daripada Ketua Audit Negara,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Hasan menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang memegang jawatan itu dari 2013 hingga 2015.

Justeru, beliau meminta Pengerusi PAC yang baharu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk memberi penjelasan secara terperinci berhubung dakwaan tersebut.

Semalam, Wong yang juga Anggota Parlimen Ipoh Timur mendakwa, isu 1MDB begitu serius bukan sekadar PAC sebelum ini gagal membuka semula siasatan malah berlaku salah guna kuasa yang mana laporan asal Ketua Audit Negara dipinda atas arahan sesetengah pihak.

Wong juga mendakwa beberapa agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Bank Negara turut ‘dilumpuhkan’ berikutan isu berkenaan sebelum ini.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan