Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil sekali mengulangi desakan mahu Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof. Datuk Dr. Mohd. Rizon Juhari ‘direhatkan’ sementara.

Menurutnya, langkah itu perlu memandangkan Mohd. Rizon didakwa terlibat dengan kes gangguan seksual.

Fahmi melahirkan rasa hairan kenapa seseorang telah didakwa dengan tuduhan sedemikian masih lagi boleh menjalankan tugas-tugasnya seperti biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Bagi saya ini satu hal yang tidak patut berlaku dan saya mohon menteri berkaitan mengambil satu pendirian yang sangat tegas.

“Malah saya pohon dari pihak kementerian untuk merangka undang-undang yang membolehkan tindak tanduk seperti ini berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pembahasan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh petang tadi.

Fahmi mengulas kes yang menyelubungi Rektor Aswara itu yang diarahkan membayar ganti rugi RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dalam kes saman sivil difailkan A’eshah Ahmad @ A Tambi yang merupakan bekas pekerjanya.

Laporan Malaysiakini menyebut, Hakim Mahkamah Sesyen, N. Kanageswari pada 27 September lalu membuat keputusan tersebut selepas membenarkan tuntutan A’eshah selaku plaintif.

Beliau menetapkan Mohd. Rizon perlu membayar ganti rugi am berjumlah RM50,000, ganti rugi teladan RM20,000 selain perintah membayar kos guaman sebanyak RM15,000.

Fahmi menambah, walaupun kes ini masih lagi berjalan dan keputusan muktmad belum ditentukan adalah lebih wajar supaya pegawai kanan itu direhatkan sehingga kes membabitkannya selesai. –MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan