Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Persidangan Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mapam di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 OKTOBER 2018.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Persidangan Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mapam di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, tiada unsur rasuah yang wujud apabila pemimpin UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau yang juga Pengerusi Bersatu berkata, jika terdapat unsur rasuah dan memiliki bukti, laporan perlu dibuat dan tindakan akan diambil.

“Setakat ini, kami tidak meminta wang dan meletakkan syarat untuk menyertai Bersatu.

“Mereka meninggalkan UMMO dan perlu menjadi ahli Parlimen bebas. Selepas itu baru memohon untuk menjadi ahli parti kami dan ia bukan prosuder yang mudah,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, sebagai contoh kes bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Jelas beliau, Ahli Parlimen Jeli itu menjadi ahli Parlimen bebas buat sementara waktu sebelum permohonannya diluluskan Bersatu.

“Kami tidak membuat rundingan di bawah meja dengan penjenayah,” tegasnya.

Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyerahkan borang keahlian Bersatu malam Jumaat lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti di Hotel Istana di sini hari ini.

Mahathir diminta mengulas dakwaan terdapat unsur rasuah membabitkan bekas ahli UMMO yang menyertai Bersatu. – MalaysiaGazette