Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sambil diiringi Pengarah Urusan dan Rakan Niaga Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar beramah mesra bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya pada Majlis Penyerahan Pek ‘Kembali Ke Sekolah’ anjuran McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Jalan Bangkung, Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan memulang paku buah keras kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan beliau mengenai isu pendidikan.

Menurut Dr Maszlee Malik, kenyataan mantan Perdana Menteri itu seperti cuba lari tajuk dari isu besar yang dihadapinya, terutama berkaitan peruntukan berjuta ringgit untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) ketika beliau menjadi perdana menteri dahulu.

“Di sebuah portal ada melaporkan berita yang dipetik dalam Twitter Najib yang menempelak saya mengenai pendidikan percuma.

“Saya ingin bertanya kepada Najib, jangan lari daripada tajuk. Beliau tidak menjawab soalan wartawan mengenai duit misteri RM36 juta yang diberikan kepada sekolah Tamil di zaman beliau menjadi perdana menteri.

“Jadi, beliau perlu jawab, jangan alihkan isu ini. Dia juga perlu jawab kenapa cabut lari dari wawancara Al Jazeera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bandaraya di sini, hari ini.

Semalam, menerusi portal berita Malaysiakini, Najib yang merupakan bekas Presiden UMNO membuat kenyataan menyindir Dr Maszlee berhubung kenyataannya mengenai isu pendidikan.

Najib merujuk kenyataan Dr Maszlee di Parlimen kelmarin yang menyifatkan pendidikan di Malaysia “hampir percuma” dan kerajaan akan mengekalkan yuran universiti.

Mengulas lanjut, Dr Maszlee berkata, sebagai mantan Perdana Menteri, Najib tidak menunjukkan sikap gentlemen dan profesional.

Katanya, beliau telah memalukan rakyat Malaysia dengan sikap melarikan diri dari soalan yang ada kaitannya dengannya. – MalaysiaGazette