Loga Bala Mohan
Jurucakap MyPPP, Datuk Loga Bala Mohan bercakap kepada media selepas membuat laporan terhadap Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas turut hadir kepimpinan tertinggi MyPPP dan Ahli MyPPP di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 30 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Seramai 23 pemimpin tertinggi myPPP hari ini tampil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta pihak berkuasa itu menyiasat dakwaan bekas Presiden parti itu, Tan Sri M. Kayveas berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib Presiden Kanan parti itu, Datuk Loga Bala Mohan berkata, myPPP telah membuat aduan untuk membolehkan SPRM menyiasat dakwaan Kayveas yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai pengedaran wang 1MDB dalam parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kayveas telah membuat dua kenyataan iaitu dia mempunyai maklumat mengenai enam individu dalam kepimpinan parti menerima wang 1MDB dan keduanya dia mempunyai aliran keluar masuk dan sumber datangnya wang itu.

“Maka kami mengambil serius dakwaan Kayveas dan mahu SPRM memanggil bekas pemimpin itu dan mendapatkan maklumat benar,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya itu di sini.

Hadir pada sidang media itu Presiden myPPP, Datuk Seri Maglin De Cruz dan Ketua Pemudanya, Sathia Suthakaran.

Menurut bekas Timbalan Menteri Wilayah itu, pihaknya telah menyerahkan maklumat berkaitan dakwaan yang Kayveas untuk disiasat lanjut pada pukul 11.45 pagi.

“SPRM cuma mengambil laporan kami dan berjanji akan siasat, saya rasa mungkin mereka akan panggil kami jika perlukan maklumat tambahan dan kami juga bersedia bekerjasama.

“Menurut Kayveas, enam bekas ahli parti semasa kepimpinannya sebelum PRU 14 didakwa menerima duit 1MDB itu. Kenyataan Kayveas juga (menyatakan) berkenaan transaksi pertama berkenaan duit yang dia terima sebagai presiden sebelum ini didakwa 1MDB.

“Dia lemparkan dakwaan itu selepas tampil ke SPRM untuk memberi keterangan dalam kes itu pada 18 Oktober lalu. Kami terkejut dengan kenyataan itu dan jika benar dakwaannya, penerima wang itu harus dihadapkan ke muka pengadilan segera,” ujarnya.

Loga Bala juga mengesahkan pihaknya tidak tahu mengenai dakwaan penerimaan dana sebanyak RM36 juta yang dimaksudkan Kayveas dan menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan menyediakan maklumat kepada SPRM.

Kayveas sebelum ini mendakwa enam bekas pemimpin yang dilucutkan keahlian myPPP telah menerima wang 1MDB sebanyak RM36 juta.

Pada 18 Oktober lalu, SPRM memanggil Kayveas untuk mendapatkan pengesahan berkaitan dana yang dikaitkan dengan 1MDB itu. – MalaysiaGazette