Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 97 transaksi penjualan tanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antara tahun 2011 sehingga 2018 yang telah dikenalpasti untuk siasatan lanjut oleh Kementerian Wilayah Persekutan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 64 transaksi kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah dilaporkan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, pada masa yang sama pihaknya juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mendalami setiap transaksi ini untuk tindakan susulan.

“Susulan daripada itu, di bawah pentadbiran baharu telah ambil inisiatif sebuah jawatankuasa khas di peringkat Kementerian Wilayah Persekutuan yang dipertanggungjawabkan dalam melakukan kajian keseluruhan 97 transaksi tanah DBKL ini.

“43 transaksi diteruskan kerana tiada isu berbangkit, nilainya juga tinggi. 14 transaksi telah dibatalkan oleh pihak syarikat kerana ada beberapa perkara tidak memuaskan oleh kedua-dua pihak. 15 transaksi pula sedang dan telah dirunding semula.

“Lima transaksi belum ada muktamad dan berkemungkinan akan bertemu di mahkamah kelak malah satu daripada syarikat telah memfailkan kes baru-baru ini,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Cheras (PH), Tan Kok Wai yang mahu perincian bilangan tanah-tanah di Kuala Lumpur yang telah dijual oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terdapat unsur penyewelengan membabitkan jenayah pecah amanah, salahguna kuasa selain penjualan di bawah nilai harga pasaran semasa.

Kok Wai turut menyoal dari jumlah tersebut berapa bidang tanah yang telah dibatalkan jualan serta sebab-sebab pembatalan juga.

Jelas Khalid, secara keseluruhan hasil rundingan semula yang telah dibuat oleh pihak jawatkuasa khas ini,pihaknya telah memperolehi RM149 juta daripada transaksi terdahulu yang masa syarikat telah membeli tanah dengan harga rendah sekaligus merugikan kerajaan.

“Pada masa yang sama, SPRM masih meneruskan siasatan , apa-apa persoalan tentang pecah amanah atau penyewelengan hanya boleh di jawab oleh badan itu dan bukan Kementerian Wilayah Persekutuan. SPRM bukan dibawah Kementerian kami. Kita tidak tahu tentang siasatan atau hasilnya sehingga hari ini.

“Namun begitu tidak dinafikan, terdapat pelbagai transasksi yang menimbulkan persoalan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu dan sering dibangkitkan oleh wakil rakyat dalam persidangan,” tegasnya. –MalaysiaGazette