Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumawip Residensi Pandanmas 2 di Resedensi Pandanmas Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 APRIL 2018
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pukul 3.15 petang tadi.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hilang sabar dan mengamuk apabila pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya berhubung penyewelengan serta salahguna ketika pentadbirannya sebelum ini.

Ahli Parlimen Cheras (PH), Tan Kok Wai bertindak melemparkan tuduhan terhadap Tengku Adnan kononnya beliau secara langsung skandal penjualan tanah paras harga pasaran.

“Penjualan tanah milik DBKL berharga tetapi di bawah harga pasaran dan juga melalui rundingan terus atau tiada rundingan langsung yang telah mendapat keizinan oleh bekas Menteri yang kini berada dalam Dewan ketika ini.

“Ini merupakan satu skandal besar yang sebenarnya merugikan rakyat, DBKL. Dan mereka-mereka ini perlu dihadapkan ke muka pengadilan supaya tindakan yang di ambil itu setanding dengan jenayah yang telah dilakukan,” kata Kok Wai.

Dakwaan Kok Wai kemudian mendapat tindakbalas daripada Tengku Adnan yang juga merupakan Ahli Parlimen Putrajaya.

“Untuk makluman Cheras, hanya untuk Cheras. Anda ulang balik tuduhan yang dibuat dalam Dewan ini di luar, saya heret anda ke mahkamah. Ulang di luar,” ujarnya.

Maklum balas itu kemudian menyebabkan suasana gamat antara wakil kerajaan dan pembangkang yang masing-masing saling tuduh menuduh antara satu sama lain.

Tambah Tengku Adnan, dirinya tidak ada kena mengena dengan penjualan tanah DBKL seperti yang didakwa oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ingin saya tegaskan, sejak ambil alih Kementerian Wilayah Persekutuan pada 2013 sehingga 2018, saya telah pulangkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk tindakan susulan. Saya tidak ada kena mengena dengan isu tanah ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan juga memperbetulkan kenyataan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bahawa dirinya tidak pernah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ingin saya tekankan, saya telah dipanggil lebih daripada 12 kali oleh SPRM untuk beri keterangan berhubung dakwaan penyelewengan tanah di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Katanya, beliau telah tampil memberi kerjasama dan memberikan keterangan mengenai apa yang diketahuinya mengenai isu tersebut kepada SPRM .

Terdahulu, ketika disoal Tengku Adnan, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad mengakui isu penjualan tanah itu turut membabitkan pihak lain.

“Saya akui bukan hanya DBKL dan Kementerian Wilayah sahaja terlibat, exco tanah dan Ahli Parlimen Putrajaya bukan pengerusi ketika itu, tetapi apa yang berlaku, harga dijual rendah dan tidak ikut prosedur dan kita serah kepada SPRM,” jawabnya. –MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan