Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi penggal 2018.
Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi susulan keputusan menerima anggota Parlimen UMNO menyertai parti itu.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata beliau melihat suasana itu tidak melanggar sebarang konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Tak ada undang-undang yang menghalang sesiapapun dari kalangan anggota Parlimen ini untuk tukar parti, jadi kalau ada orang yang berminat tukar parti kita perlu benarkan, kita tak boleh menolak permohonan mereka itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu mempunyai agenda tertentu kerana menerima anggota Parlimen UMNO masuk ke dalam parti itu termasuk Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengakui keputusan Bersatu itu mendapat tentangan beberapa pihak, beliau menjelaskan bahawa penerimaan itu melibatkan pertimbangan dan syarat yang perlu dipenuhi.

“(Kita) bukan pelawa. Kita dah keluarkan kenyataan sebelum ini sekiranya ada di kalangan anggota Parlimen khususnya UMNO yang berminat sertai Pakatan Harapan (PH) melalui Bersatu kami alu-alukan tetapi adalah syarat tertentu yang perlu dipenuhi sebelum boleh dipertimbangkan,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat anggota Parlimen UMNO yang berjumpa beliau dan menyatakan kesediaan untuk menyertai Bersatu, Mukhriz tidak menafikan perkara itu, namun menyatakan beliau tidak pasti berapa ramai antara mereka yang berminat dan benar-benar mahu menyertai Bersatu.

Beliau turut menjelaskan Bersatu tidak akan mempertimbangkan beberapa nama-nama besar dan pemimpin kanan UMNO untuk menyertai parti itu dan mereka sendiri tidak menyatakan minat untuk bersama.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan