Syahir Sulaiman
Syahir Sulaiman

KUALA LUMPUR –  Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen Jumaat ini disifatkan sebagai belanjawan terpenting untuk negara dalam tempoh lima tahun, kata Pengarah Strategi Dewan Pemuda Pas Malaysia, Syahir Sulaiman.

Ini kerana, katanya, Belanjawan 2019 adalah yang pertama disediakan sepenuhnya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Menurut Syahir, ini berbeza dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang merupakan kesinambungan kepada dasar dan program yang dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi.

Selain itu, jelas beliau, Belanjawan 2019 perlu dirangka dalam keadaan ekonomi dan kewangan negara yang agak lemah peninggalan daripada kerajaan BN terdahulu, di samping tanggungjawab utama kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan yang terpenting kewajipan untuk menunaikan janji manifesto PH.

“Secara umumnya, Belanjawan 2019 dijangka tidak mengandungi banyak pemberian dan janji manis untuk menarik sokongan rakyat, manakala kerajaan dijangka menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan hasil pendapatan dan mengoptimakan perbelanjaan serta berkemungkinan mengemukakan bajet yang lebih kecil bagi mendepani cabaran ekonomi semasa,” katanya dipetik dari kenyataannya yang dimuat naik menerusi akaun facebook beliau semalam.

Kata Syahir, jangkaan Ahli Ekonomi, Penganalisis Ekonomi di Maybank Investment Bank (MIB), Belanjawan 2019 akan mencatatkan angka defisit sekitar 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ini katanya, berbeza dengan angka 2.8 peratus defisit yang diunjurkan dalam Belanjawan 2018 yang mana ia disumbangkan oleh pengurangan kutipan cukai kepenggunaan daripada GST kepada SST.

“Di samping konsolidasi perbelanjaan di pihak kerajaan dalam aspek pembatalan projek mega, subsidi minyak, penyusunan hutang dan pemberian tender kerajaan.

“Pihak MIB juga menjangkakan insentif Belanjawan 2019 akan diutamakan kepada sektor rumah mampu milik, industri kecil dan sederhana serta peningkatan inovasi dan produktiviti.

“Manakala perbelanjaan kerajaan dalam bentuk gaji, bonus dan pemberian akan dikecilkan dalam masa terdekat ini, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan pada kadar 4.8 peratus bagi tahun 2019,” katanya.

Penganalisis ekonomi di Ambank Investment Bank (AIB) pula menjangkakan defisit yang lebih tinggi, iaitu sekitar 3.7 peratus hingga 4.6 peratus pada tahun 2019.

Ini menurut beliau, berdasarkan unjuran hasil yang lebih rendah dan pemotongan perbelanjaan kerajaan sekitar 5 peratus hingga 10 peratus serta pertumbuhan KDNK 2019 yang dijangka agak perlahan pada kadar 4.5 peratus.

AIB juga katanya, melihat sentimen berhati-hati dalam kalangan pelabur di Bursa Malaysia, kenaikan kadar inflasi yang ditanggung pengguna, kelemahan nilai ringgit dan kemungkinan perubahan penarafan kredit Malaysia sebagai perkara yang tidak boleh dipandang ringan oleh pihak kerajaan.

“Ternyata, penyediaan Belanjawan 2019 adalah sangat rumit dan perlu mengambilkira pelbagai dimensi politik dan sosio-ekonomi bagi mencapai keutamaan dan penumpuan baharu yang digariskan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK11 baru-baru ini,” jelas beliau. – MalaysiaGazette