KUALA LUMPUR – Empat pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) diarah bercuti sementara siasatan dijalankan berhubung pembelian tanah bernilai RM2 bilion oleh bank tersebut.

Mereka diarahkan bercuti bagi membolehkan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) melakukan siasatan mengenai pembelian tanah tersebut, menurut The Star.

Bagaimanapun MalaysiaGazette difahamkan SPRM belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung siasatan pembelian tanah berkenaan.

Malah, Bank Pusat itu juga belum memberi maklum balas mengenainya ketika ditanya mengenai arahan terhadap empat pegawainya.

Pembelian tanah milik kerajaan itu menimbulkan kontroversi selepas hasil jualan dikatakan digunakan untuk melunaskan hutang yang ditanggung oleh Malaysia Development Berhad (BNM).

Transaksi jual beli tanah itu didakwa mahal kerana ia bukan digunakan untuk komersial.

Namun, Bank Pusat itu telah mempertahankan transaksi berkenaan dan memaklumkan bahawa urusan pembelian tanah tersebut telah dibuat berlandaskan prinsip urus niaga telus dan dibeli pada harga wajar yang ditentukan oleh jurunilai harta tanah bebas.

Urusan pembelian tanah ini mematuhi semua keperluan tadbir urus dan undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan BNM, kata Bank Pusat itu.

BNM berkata, tanah seluas seluas 22.58 hektar yang dijadikan penempatan semula Universiti Kewangan Islam Global dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam.

Tanah yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Sasana Kijang BNM akan dilengkapi dengan kemudahan latihan serta persidangan yang canggih dan ia juga menempatkan organisasi-organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, Pusat Penyelidikan dan Latihan Bank-bank Pusat Asia Tenggara serta Persekutuan bagi Rangkuman Kewangan.

Ia juga terletak berhampiran dengan kompleks Asia School of Business (kerjasama dengan Massachusetts Institute of Technology) dan Pusat Latihan Industri Kewangan yang sekarang ini sedang dalam pembinaan. – MalaysiaGazette