Nicolas Tagliafico diburu Arsenal untuk memperkuatkan jentera pertahanan bek kiri pasukan dalam EPL.

ENGLAND – Arsenal telah mengemukakan bidaan £8 juta  (RM42.5 juta) untuk bintang pertahanan Argentina, Nicolas Tagliafico.

Laporan di England mendakwa the Gunners serius untuk mengikat khidmat bek pertahanan kiri Ajax pada jendela perpindahan musim sejuk Januari ini.

Krisis kecederaan yang melanda pasukan bimbingan Unai Emery memaksa kelab itu untuk mengintai pemain terbaik direkrut ke Emirates.

Newcastle United juga dikatakan mengemukakan bidaan kedua selepas usaha pertama membawa masuk pemain itu pada Ogos lalu gagal.

Namun Arsenal dilihat berpeluang untuk memuktamadkan khidmat pemain itu kali ini yang akan menjamin aksi kesebelasan utama.

Bintang berusia 26 tahun itu beraksi cemerlang bersama Ajax yang menduduki tangga kedua dalam Liga Eredivisie di belakang PSV Eindhoven yang mengungguli carta.

Pemain Utama bek pertahanan Nacho Monreal dan Sead Kolasinac dilanda kecederaan.

Ini bermakna Granit Xhaka dipaksa mengisi bek pertahanan dalam tiga perlawanan bertemu Leicester City, Sporting Lisbon dan Crystal Palace.

Arsenal kini menduduki tangga ke-4 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 22 mata selepas mengharungi 10 perlawanan setakat ini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan