Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga anggota Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim perlu hadir di Mahkamah Sesyen Kangar Isnin ini untuk menghadapi pertuduhan bersabit kes mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga anggota Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim perlu hadir di Mahkamah Sesyen Kangar Isnin ini untuk menghadapi pertuduhan bersabit kes mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa pihak media tidak mensensasikan kesnya didakwa mencabul seorang gadis sedangkan laporan polis telah ditarik balik.

Beliau berkata, tindakan pihak media terus melaporkan kes terbabit hanya akan menjejaskan masa depan gadis terbabit yang juga merupakan seorang penyanyi sebuah kumpulan buskers di Perlis.

“Saya telah memberikan kerjasama baik dengan pihak polis dan berharap pihak media tidak memanjangkan perkara ini kerana ia menjejaskan maruah anak perempuan tersebut

“Anak perempuan itu ada masa depan yang harus diberi perlindungan oleh semua pihak dengan menguar-uarkan cerita yang tidak sewajarnya ia boleh menjejaskan masa depan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Isnin lalu, Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan, dilapor mendakwa wujud cubaan ‘menutup’ satu kes cabul remaja perempuan berusia 15 tahun oleh seorang kenamaan, baru-baru ini.

Sanjeevan mendakwa remaja perempuan itu dicabul Ahli Parlimen berkenaan dalam sebuah kereta di Kangar, Perlis, pada 20 Oktober lalu, namun belum ada tindakan diambil polis.

Shahidan juga berkata, beliau sedia diserang oleh musuh politik berhubung kes cabul remaja bawah umur membabitkan dirinya, namun kehormatan penyanyi buskers terbabit perlu dilindungi.

“Saya sebagai orang politik sudah pasti saya akan dibuat macam-macam oleh musuh-musuh politik tapi tak apa saya akan hadapi dengan rela dan redha.

“Saya menganggap anak-anak buskers ini lebih kepada anak-anak dan cucu-cucu saya sendiri,” katanya.

Shahidan Kassim
Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim bercakap kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Katanya lagi, ketika kejadian, Shahidan mendakwa beliau mengunjungi tempat pertunjukan busker DSSK yang turut dihadiri gadis berkenaan untuk menyerahkan bantuan kewangan.

“Saya telah tiba di tempat pertunjukkan tersebut lebih kurang jam 11.40 malam. Ketika itu salah seorang ahli pasukan buskers dan pengurus telah berjumpa dengan saya.

“Saya telah menyerahkan sedikit bantuan kewangan untuk kumpulan tersebut yang mana ketika itu ahli keluarga dan rakan-rakan penyanyi serta ahli kumpulan DSSK berada berhampiran dengan kereta saya

“Selepas memberikan dana, saya balik,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, keesokkan harinya beliau dikejutkan dengan satu laporan polis telah dibuat ke atasnya bagaimanapun keluarga gadis terbabit telah menarik balik laporan itu kerana salah faham.

“Pada keesokkan hari Azhar memaklumkan ahli keluarga penyanyi kumpulan DSSK ingin berjumpa dengan saya.

“Saya berjumpa dengan ahli keluarga penyanyi tersebut dan terkejut dimaklumkan kepada saya yang mereka telah membuat laporan polis atas dasar salah faham dan mereka telah menarik laporan tersebut.

“Saya tidak mengambil hati kerana kami telah bermaaf-maafan dan saya pasti keluarga anak perempuan tersebut memahami,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan