Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Cawangan parti politik boleh ditubuhkan di Universiti Awam (UA) apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda kelak, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee berkata pindaan itu juga selari dengan cadangan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Dengan perubahan AUKU yang akan dilakukan, akan ada Kelab Mahasiswa Barisan Nasional (BN) di UA, akan ada Kelab Pakatan Harapan (PH), Kelab Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan kelab-kelab lain yang ingin ditubuhkan sebagaimana di negara maju.

“Ini selaras dengan penurunan umur mengundi yang akan kita cadangkan nanti. Jika diturunkan umur mengundi kepada 18 tahun, maka pelajar akan bebas berpolitik, boleh mencalonkan diri mereka, boleh mengundi tanpa sebarang sekatan,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, malam tadi.

Beliau menjawab celahan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang ingin tahu sama ada kementerian bersetuju untuk mewujudkan cawangan parti politik di UA.

Bagaimanapun Maszlee berkata penubuhan cawangan parti politik itu hanya terpakai di UA yang tertakluk kepada AUKU.

“Ada dua universiti yang tidak tertakluk kepada AUKU iaitu UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan UIA (Universiti Islam Antarabangsa),” katanya.

Menjawab celahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bangkit mempersoalkan penubuhan parti politik dan pilihan raya kampus yang menurutnya bukan perkara baharu, Maszlee berkata pilihan raya kampus sebelum ini dikawal pihak tertentu menyebabkan pelajar tidak bebas berpolitik.

“Yang berlaku pilihan raya kampus sebelum ini dikawal oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di bawah kuasa BN dan pelajar dan pensyarah yang tidak sehaluan dengan BN dikenakan sekatan yang pelbagai, YB Syed Saddiq (Yang Berhormat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) juga sebelum ini pernah dihalang masuk ke universiti,” katanya.

— BERNAMA