Saud Al Mojeb
Saud Al Mojeb

ISTANBUL – Pendakwa raya Arab Saudi, Saud Al Mojeb enggan menjawab soalan sebahagian daripada siasatan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi yang dikemukakan rakan sejawatnya dari Turki, menurut kolumnis akhbar Hurriyet, Abdulkadir Selvi.

Mojeb tiba di Istanbul pada malam 28 Oktober lalu dan mengadakan pertemuan dengan ketua pendakwa raya Turki pada keesokan hari, beberapa hari selepas Arab saudi mengeluarkan kenyatan yang menyatakan pembunuhan Khashoggi telah dirancang.

Beliau mengadakan perbincangan kedua dengan pendakwa raya Turk, Irfan Fidan di mahkamah pada 30 Oktober sebelum memeriksa konsulat Arab Saudi.

Agensi berita, Demiroren melaporkan Mojeb juga melawat pejabat Agensi Risikan Nasional Turki pada 31 Oktober.

Memetik sumber kerajaan yang tidak mahu dikenali, Selvi menyatakan dalam tulisannya bahawa pihak berkuasa Turki berkongsi beberapa bukti visual dengan Mojeb namun berasa ‘tidak selesa’ apabila pendakwa raya Arab Saudi itu mahu mendapatkan salinan maya telefon Khashoggi.

Menurut Selvi, para pegawai Turki ‘sangat tidak mempercayai’ Mojeb memandangkan beliau berulang kali enggan menjawab soalan mengenai lokasi mayat Khashoggi dan identiti pembunuh ‘warga tempatan yang bersubahat’ yang beliau nyatakan sebelum ini tanpa menghuraikannya.

“Mengapa pendakwa raya Arab Saudi menyembunyikan pengetahuannya mengenai lokasi mayat daripada rakan sejawatnya dari Turki? Beliau mungkin melawat Turki bukan untuk menyelesaikan kes pembunuhan ini tetapi untuk menyelamatkan putera mahkota,” menurut kesimpulan Selvi.

Khashoggi yang merupakan kolumnis Washington Post dan pengkritik Putera Mahkota, Mohammad bin Salman dibunuh dalam bangunan konsulat selepas beliau memasuki bangunan itu untuk mendapatkan dokumen perkahwinannya pada 2 Oktober lalu.

Selepas seminggu Arab Saudi menafikannya, pada 25 Oktober lalu negara tersebut mengaku wartawan itu menjadi mangsa pembunuhan terancang dalam bangunan tersebut dan 18 orang telah ditahan namun lokasi mayatnya masih tidak diketahui. – Agensi