4.0
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kiri) menunjukkan kebolehannya mengguna '5G Remote-Operated Excavator ketika melawat pameran pada Pelancaran Dasar Industri 4.0 Nasional di Menara MITI, Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR- Malaysia masih lagi membuat kajian mendalam sebelum meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Kerjasama Trans-Pasifik (CPTPP) walaupun pakatan tersebut telah boleh dikuatkuasakan menjelang hujung tahun ini.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerajaan mahu memastikan CPTPP tidak akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

“Kita telah tandatangan perjanjian dan ketika ini kami masih lagi mengkaji secara mendalam untuk memastikan CPTPP tidak akan memberi impak buruk kepada ekonomi.

“Saya tidak boleh beritahu tarikh secara tepat tetapi kami memang sedang mengkajinya,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Dengan Australia mengesahkan bakal menjadi negara keenam meratifikasi perjanjian tersebut secara rasmi, pakatan 11 negara itu boleh mula dilaksanakan pada hujung Disember ini.

Sebelum ini, Kanada, Jepun, Mexico dan Singapura terlebih dahulu telah meratifikasi CPTPP secara rasmi.

Menteri Perdagangan dan Eksport New Zealand, David Parker berkata, pengumuman Australia itu secara automatik memulakan kiraan menurun 60 hari sebelum bermulanya pelaksanaan CPTPP serta pada waktu yang sama pusingan pertama pengurangan tariff.

New Zealand merupakan negara yang memegang jawatan rasmi bagi menerima dan mengedarkan makluman kepada negara-negara anggota CPTPP.-MalaysiaGazette

 

 

Tinggalkan Jawapan