Kamarulzaman Mohamad
Kamarulzaman Mohamad

KUALA LUMPURĀ – Kebanyakan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini hanya mampu menjadi ‘kuli’ dan bukannya usahawan seperti kaum lain akibat kegagalan kerajaan memanfaatkan sepenuhnya hak istimewa mereka.

Timbalan Ketua Sekretariat UMMAH, Kamaruzaman Mohamad berkata, kerajaan masih gagal menyediakan ruang secukupnya kepada orang Melayu dan Bumiputera untuk bersaing dengan kaum-kaum lain.

“Kalau ruang yang ada ini tidak digunakan menyebabkan orang Melayu hari ini tidak mampu menjadi golongan usahawan dan akhirnya kita menjadi kuli kerana kegagalan kerajaan menggunakan ruang tersebut.

“Kalau ruang ini ditutup, saya yakin keadaan 10 kali lebih dahsyat pada 10 hingga 15 tahun akan datang daripada yang ada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu Kamaruzaman bersama Gabungan NGO-NGO Ummah mengadakan perhimpunan aman di depan Parlimen bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

peserta demostrasi bantah ICERD
Antara peserta-peserta yang tiba sambil memegang kain rentang dan sepanduk ketika menyertai demonstrasi penyerahan memorandum tolak ICERD, penghapusan Hak Bumiputera di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 OKTOBER 2018

Penganjuran demostrasi itu bagi menyatakan kebimbangan umat Islam terhadap ratifikasi ICERD dikhuatiri menjejaskan kedudukan kaum Bumiputera dan agama Islam di negara ini.

Kamaruzaman juga berkata, kelemahan orang Melayu dan Bumiputera bukan kerana wujudnya Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan sebaliknya kelemahan kerajaan membangunkan sosio ekonomi kaum itu.

“Kelemahan hari ini bukan kerana peluang, kedudukan dan hak istimewa, tetapi kelemahan kerajaan sendiri.

“Pemerintah gagal memperkasa dan menggunakan ruang sedia ada untuk melahirkan (usahawan) orang Melayu dan bukan bukan lagi menjadi kuli dalam negara kita sendiri.

“Bukan salah akta atau peruntukan dalam Parlimen tetapi kesalahan kerajaan yang gagal melaksanakannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette