Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusoff.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, perbuatan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) merompak duit rakyat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sebagai maksiat paling besar pernah berlaku di negara ini.

Menurut beliau, tindakan itu meninggalkan kesan dan sekaligus membawa kerosakan besar kepada negara.

“Merompak duit 1MDB itulah maksiat yang paling besar membawa kepada kerosakan, membawa kepada kehancuran yang susah tidak dibela, itulah bala yang paling besar sebenarnya.

“Pemimpin-pemimpin yang rasuah bukan sikit. Lepas tu para pemodal dan kapitalis yang menindas dengan sistem perbankan yang menyusahkan rakyat,” katanya kepada media dalam sidang media selepas menghadiri Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institut Kewangan di Malaysia kali ke 14 hari ini.

Menurut menteri yang menjaga hal ehwal agama itu, pemusuhan terhadap maksiat tidak hanya kepada perkara minum arak, penzinaan sahaja.

Malah katanya, merompak duit rakyat dan rasuah juga boleh diklasifikasikan sebagai maksiat yang boleh mengundang bala daripada Allah.

“Memang betul segala bentuk maksiat itu akan mengundang bala tapi maksiat juga perlu difahami dalam konteks yang lebih luas. Menindas rakyat, menindas orang yang di bawah, golongan kapitalis yang hanya pentingkan kekayaan dan mengaut kemewahan dan pembaziran juga adalah perkara-perkara yang mengundang kepada bala,” katanya lagi.

1MDB menjadi topik hangat apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan isu tersebut didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada kegiatan haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lalu.

Pada 20 September, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik turut membidas Najib dengan berkata jika duit rakyat tidak digunakan untuk membeli barangan berjenama Bijan, beg tangan berjenama Hermes dan segala cincin berlian kepada isteri dan keluarga, pendidikan percuma boleh dikecapi hari ini.

Ia susulan tindakan Najib menyindir Dr. Maszlee yang cuba mengambil kredit kerajaan terdahulu yang memperkenalkan pendidikan di negara ini hampir percuma, pada Isnin.

Najib merujuk kenyataan Maszlee di Parlimen semalam yang menyifatkan pendidikan di Malaysia hampir percuma dan kerajaan akan mengekalkan yuran universiti. -MalaysiaGazette