Lim Guan Eng
Lim Guan Eng, foto IQBAL BASRI, 01 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan mengumumkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi pembelian bas siap pemasangan tempatan (local assembled completed bus) kepada pengusaha bas yang mempunyai permit yang sah.

Ini sekaligus memberi penjimatan sebanyak 10 peratus untuk setiap bas yang berharga di antara RM250,000 sehingga RM900,000, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Keputusan ini dibuat demi mengurangkan bebanan ke atas pengusaha-pengusaha bas dan seterusnya membolehkan mereka meningkatkan mutu perkhidmatan bas sebagai salah satu sistem pengangkutan awam kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Setakat hari ini, terdapat 115 buah bas yang telah siap dipasang dan 360 buah bas separuh siap yang belum dikeluarkan daripada kilang pemasangan tempatan.

Pengusaha bas perlu bergantung kepada bas yang baharu untuk memberi perkhidmatan yang selesa dan selamat kepada orang ramai terutamanya pelajar-pelajar -sekolah dan golongan yang berpendapatan rendah. -MalaysiaGazette

 

 

Tinggalkan Jawapan