Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun bercakap pada sidang media mengenai perbincangan kas SPR bersama parti-parti politik berhubung isu urusan Pendaftaran Pemilih di Menara Suruhanjaya Pilihan Raya, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 31 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Cadangan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik yang mendapat sokongan penuh semua parti politik di negara ini memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun berkata, semua pihak yang dipanggil berbincang hari ini mahukan data terperinci berbanding apa yang ada sekarang ini dalam proses untuk melaksanakan peraturan baru itu.

Katanya, SPR perlu mengkaji proses pelaksanaan pendaftaran automatik yang jika diikutkan kebiasaannya pemilih akan mengundi mengikut alamat yang didaftarkan dalam MyKad.

“Maka pengundi perlu mengikut alamat itu dan tidak boleh lagi balik kampung dan mengundi alamat asal, itu dari segi pemahaman polisi.

“Tapi secara dasarnya saya rasa cadangan itu dapat sokongan penuh, cuma memerlukan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia akan mengambil sedikit masa untuk kami melaksanakannya,” katanya dalam sidang media di Menara SPR di sini.

Terdahulu beliau mempengerusikan perbincangan julung kali melibatkan SPR dengan parti-parti politik berkaitan urusan pendaftaran pemilih yang dihadiri 32 daripada keseluruhan 51 parti berdaftar di negara ini.

Perbincangan itu bertujuan mencari jalan penyelesaian terhadap beberapa isu dibangkitkan berhubung daftar pemilih.

Dalam perkembangan sama, Azhar Azizan juga mengakui cadangan pengurangan had umur mengundi kepada 18 tahun yang telah diperakui Kabinet dan diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

Beliau juga diminta mengulas pandangan pihak tertentu bahawa pengurangan had umur mengundi kepada 18 tahun tidak begitu sesuai dan mempertikaikan kematangan pengundi pada tahap itu.

Azhar ditanya sama ada reaksi wakil politik dalam perkara itu berkata:”Mengenai had umur undi 18 tahun tidak ada bantahan daripada mereka (ahli politik).”

Dalam perbincangan bersama ahli-ahli politik selama lebih dua jam itu, katanya, lapan perkara pokok dibincangkan antara lain pengemaskinian dan pembersihan daftar pemilih; cadangan pelantikan penolong pendaftar pemilih (PPP) daripada wakil parti politik diwujudkan semula; dan cadangan pendaftaran pemilih secara dalam talian.

Selain itu, isu lokaliti yang tidak wujud lagi akibat pembangunan; pendaftaran pemilih yang ramai di satu alamat; isu pengundi hantu; 3.6 juta warganegara berumur 21 tahun ke atas tidak mendaftar sebagai pemili;h dan akhirnya isu pengundi berumur 100 tahun ke atas dalam daftar pemilih.

Ujarnya SPR komited untuk memastikan daftar pemilih benar-benar diyakini oleh semua pihak.

Katanya, beberapa perkara juga perlu diselaras antaranya anggota bersara yang masih berstatus pengundi awal; anggota berpindah tempat bertugas; pasangan anggota yang hilang kelayakan akibat persaraan; dan lain lain. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan